Harian Metro

Kim Swee pertaruh pemain terbaik

-

Petaling Jaya: Jurulatih Datuk Ong Kim Swee percaya beliau memiliki skuad terbaik untuk memberi cabaran hebat dalam saingan Sukan Asia Jakarta Palembang bermula Rabu ini meskipun terpaksa menggugurk­an dua pemain bagi melengkapk­an senarai 20 pemain akhir.

Dua pemain yang tidak bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) negara ke Jakarta hari ini adalah penjaga gol Khatul Anuar Jalil dari Kuala Lumpur dan pertahanan tengah PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie.

Sementara penyerang, Hadi Fayyadh Razak yang baru pulang daripada menyertai sesi percubaan dengan kelab liga dvisyen dua Jepun, Roasso Kumamoto turut dipanggil semula untuk memperkuat­kan pasukan.

Menurut Kim Swee, beliau berpuas hati dengan barisan pemain yang dimiliki meskipun sebelum ini dihimpit masalah kecederaan dan pelepasan pemain.

“Ini senarai terbaik kami dan saya percaya semua pemain yang disenaraik­an mampu menggalas tugas di mana juga mereka diletakkan dalam posisi tertentu. Kemasukan Hadi juga memberi banyak ruang di bahagian serangan,” katanya semalam.

Dalam pada itu, Kim Swee mengakui insiden pergaduhan yang berlaku antara pemain dan pegawai Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi persahabat­an di Stadium Shah Alam, Ahad lalu tidak mengganggu tumpuan mereka.

Malah, beliau menyerahka­n sepenuhnya kepada Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) untuk mengambil tindakan.

“Pemain hari ini tidak lagi menumpukan apa yang sudah berlalu, yang penting mereka kekal fokus dengan latihan dan tujuan utama mereka selepas ini. Kami tak perlu membangkit­kan isu yang sudah lalu.

“Kami kena siap sedia untuk perlawanan pertama Rabu ini. Itu terpulang kepada AFC untuk mengendali­kan kes ini,” katanya yang mahu anak buahnya fokus untuk melepasi halangan peringkat kumpulan terlebih dahulu.

Dalam kempen Sukan Asia kali ini, Malaysia akan berdepan Kyrgyzstan Rabu ini di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung diikuti juara bertahan Korea Selatan (17 Ogos) dan Bahrain (20 Ogos) dalam Kumpulan E.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia