Harian Metro

Tuck terkilan ‘keluar’ padang awal

- Malik Muhamad sukanteam@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Di sebalik kemenangan tipis Terengganu FC (TFC) ke atas Perak 4-3 pada saingan Piala Malaysia malam kelmarin, timbul rasa bersalah dan menyesal di hati arkitek skuad itu, Lee Tuck kerana tidak dapat membantu pasukannya berjuang hingga tamat perlawanan.

Hal ini kerana pemain kelahiran Halifax, England yang dilabel ‘Rooney Ganu’ diarahkan meninggalk­an padang oleh pengadil pada minit ke-70 selepas menerima kad merah susulan kad kuning kedua dalam perlawanan itu kerana mengasari pemain lawan.

“Saya minta maaf kepada pemain dan pengurusan, sepatutnya situasi itu tidak berlaku terutama selepas menerima kad kuning kedua sekali gus kad merah, saya berasa bersalah dan menyesal dengan tindakan itu, seharusnya saya perlu lebih berhati-hati kerana ia boleh merugikan pasukan.

“Saya akui kesilapan itu daripada diri saya sendiri, namun saya bersyukur dan berterima kasih kepada rakan sepasukan yang terus positif dan bekerja keras sepanjang 20 terakhir walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk mengutip tiga mata apatah lagi beraksi di tempat lawan.

“Secara jujur saya kagum dengan komitmen rakan sepasukan kerana berjaya menang kali kedua berturut-turut dan lebih manis pemain tidak menjadikan

(gambar)

alasan beraksi dengan 10 pemain biarpun sebenarnya bukan satu tugasan mudah,” kata Tuck.

Pada perlawanan itu, Tuck yang mula menyarung jersi skuad yang digelar Peteh Terengganu Peteh pada awal musim ini berjaya menyumbang satu gol buat pasukannya menerusi sepakan penalti selain masing-masing satu jaringan menerusi Ashari Samsudin, Wan Amirzafran Wan Nadris dan Faiz Nasir untuk mendahului tuan rumah 4-0.

Namun, kebangkita­n lewat The Bos Gaurus yang meledak tiga gol melalui Wander Luiz pada minit ke-85 dan 89 serta sepakan penalti bekas pemain T-Team, Leandro Dos Santos pada masa kecederaan hampir ‘meragut’ kemenangan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim.

“Kemenangan ini amat bermakna bagi kami biarpun hampir berputih mata, kami berada dalam prestasi terbaik pada masa ini begitu juga tahap keyakinan rakan sepasukan tinggi walaupun setiap perlawanan berbeza,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia