Harian Metro

HAJAT HAIKAL JADI BOMBA TERTUNAI

Budak lapan tahun hidap tumor otak diberi kesempatan sertai pasukan bomba

- Hadzlihady Hassan hadzlihady@hmetro.com.my

“Saya mahu jadi anggota bomba kerana boleh selamatkan orang,” kata Nor Faris Haikal Mohd Norhisyam.

Nor Faris Haikal kanak-kanak berusia lapan tahun yang menghidap tumor otak diberi kesempatan menyertai pasukan beruniform itu di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak di sini, semalam.

Impian kanak-kanak itu direalisas­ikan menerusi program Make-A-Wish yang dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Make-A-Wish Malaysia dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri.

Lengkap berpakaian seragam anggota penyelamat itu, kanak-kanak yang lebih dikenali sebagai Haikal dalam kalangan ahli keluarga itu ternyata begitu teruja apabila dibawa menaiki jentera bomba selain berpeluang memadamkan kebakaran.

Walaupun pada mulanya kelihatan agak gementar, namun senyuman puas jelas terpancar pada wajah Haikal apabila impian itu dapat dilaksanak­an dengan tunjuk ajar anggota bomba.

Sementara itu, bapa kanak-kanak terbabit, Mohd Norhisyam Ridzuan, 31, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu berminat untuk menjadi anggota bomba sejak usianya empat tahun.

“Sejak kecil, dia sudah menunjukka­n minatnya itu kerana setiap kali melihat jentera atau melintasi pejabat bomba, Haikal sangat teruja.

“Impian anak akhirnya tercapai dan saya ingin mengucapka­n terima kasih kepada

Make-A-Wish Malaysia dan bomba kerana memberi peluang yang sangat bermakna kepada Haikal,” katanya.

Menurutnya, Haikal sebelum ini adalah seorang anak yang sangat periang dan lincah namun dia mula tidak sihat dan beratnya susut selain kerap demam sebelum disahkan menghidap tumor otak pada Oktober tahun lalu.

“Haikal kemudian menjalani pembedahan membuang tumor di Hospital Pulau Pinang dan dia kini sedang mendapatka­n rawatan kimoterapi.

“Kami sekeluarga bersyukur kerana keadaan Haikal semakin bertambah baik dan dia juga memang memerlukan sokongan untuk menaikkan lagi semangatny­a bagi menghadapi kehidupan akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish

Malaysia, Irene Tan berkata, program seumpama ini dilakukan bagi merealisas­ikan impian kanak-kanak.

“Kita percaya kekuatan sebuah impian itu dapat mengubah kehidupan terutama buat kanak-kanak dan ia juga adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan mereka jika dapat memiliki apa yang diidamkan,” katanya.

Sejak kecil, dia sudah menunjukka­n minatnya kerana setiap kali melihat jentera atau melintasi pejabat bomba Haikal sangat teruja”

Mohd Norhisyam

 ??  ??
 ??  ?? NOR Faris Haikal yang menghidap penyakit ketumbuhan tumor bercita-cita menjadi seorang anggota bomba.
NOR Faris Haikal yang menghidap penyakit ketumbuhan tumor bercita-cita menjadi seorang anggota bomba.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia