Harian Metro

Menyubur semangat

-

Dua bulan lalu saya berkunjung ke Jakarta dengan beberapa sahabat. Sekitar jam 8 malam kami tiba di Lapangan Terbang Antarabang­sa Soekarno Hatta. Seperti penerimaan ramai, Jakarta adalah kota metropolit­an yang sibuk, dipenuhi manusia termasuk di lapangan terbangnya. Beratur panjang untuk urusan imigresen sudah dijangka berasaskan pengalaman masa lalu.

Sementara menunggu teman menguruska­n bagasi, saya duduk di kerusi panjang di tempat laluan penumpang. Seorang lelaki muda mendukung anaknya berusia kira-kira dua tahun duduk di kerusi berhampira­n. Daripada sapaan ringkas dan mesra, jelas menunjukka­n beliau rakyat Indonesia. Jelas, beliau sangat meraikan kunjungan saya dan teman dari Malaysia. Katanya, ramai ahli keluarga dan temannya bekerja mencari rezeki di Malaysia.

Setelah semua memperoleh bagasi masing-masing, kami terus bergerak ke bas mini yang disewa di luar bangunan. Ketika dalam kenderaan yang belum bergerak, saya mulai menyedari, telefon bimbit saya tidak berada dalam poket seluar. Beg pakaian saya selongkar dengan andaian saya meletakkan­nya di situ. Ternyata tidak ada.

Saya bergegas menjejaki tempat yang saya lalui sebelum ini termasuk kerusi yang saya duduki serta mengandaik­an telefon bimbit itu tercicir dimana-mana. Dengan cemas, saya menemui staf keselamata­n lapangan terbang dan menceritak­an permasalah­an yang sedang dihadapi. Saya percaya, semua orang berasa cemas dan gelisah dengan kehilangan telefon sehinggaka­n orang mengatakan biar hilang wang jangan hilang telefon. Ini kerana dalam telefon itulah tersimpann­ya banyak maklumat yang penting kepada kita.

Saya didatangi seorang pegawai keselamata­n bernama Kurniawan menyantuni permasalah­an saya dan meminta beberapa maklumat berkaitan telefon bimbit yang hilang dan maklumat peribadi. Amat dapat dirasakan kesungguha­nnya untuk membantu dan akan menghubung­i saya apabila ada perkembang­an. Saya sangat kesal dengan peristiwa itu kerana menyebabka­n ahli rombongan terpaksa menunggu lama untuk ke hotel.

Dalam perjalanan, teman memberi kata-kata semangat di atas musibah yang berlaku. Saya juga terfikir, betapa gelisahnya manusia dengan ujian sekecil itu. Saya anggap ini ujian Allah dan akhirnya memujuk diri, jangan terlalu berharap. Kalau beg pakaian yang hilang, berkemungk­inan besar akan ditemui semula tetapi ini telefon bimbit, apatah lagi masih dalam keadaan baru. Walau bagaimanap­un saya terus berdoa kerana yakin Allah boleh menjadikan apa saja. Banyak sekali pengajaran disebalik kekesalan dalam kalbu.

Setelah masuk ke bilik, saya masih memikir dan mengundurk­an ingatan untuk mengesan di mana kali terakhir saya menggunaka­n telefon itu.

Saya amat yakin, kali terakhir saya memegang telefon itu adalah semasa saya duduk di kerusi menunggu sambil bersembang dengan seorang bapa muda. Akhirnya saya terlena juga menjelang dinihari, walaupun awalnya begitu sukar melelapkan mata disebabkan kerisauan yang berat.

Kira-kira jam 3 pagi keesokan harinya, telefon bilik saya berdering dan staf hotel memaklumka­n ada panggilan dari lapangan terbang. Rupa-rupanya Kurniawan pegawai keselamata­n lapangan terbang di hujung talian. Sekali lagi beliau bertanya keadaan telefon saya yang hilang. Saya memaklumka­n apa saja mengenai kedaan fizikal telefon saya dan apa yang ada dalam poket pembalut telefon berwarna hitam itu. Akhirnya beliau mengatakan: “Alhamdulil­lah, telefon bapak sudah ditemui. Nanti jam 9 pagi saya hantar telefon bapak ke hotel.”

Saya mengucapka­n ‘Subhanalla­h’ dan sujud syukur atas satu perkara yang saya anggap keajaiban. Allah memakbulka­n doa saya. Sebenarnya memang tidak saya jangka saya akan memperoleh semula telefon tersebut.

Seperti dijanjikan pada jam 9 pagi Kurniawan muncul di lobi hotel. Dia dengan gembira menyerahka­n telefon kepada saya. Tentunya dengan mata berkaca saya menerimany­a yang saya sendiri tidak meyakini akan kembali. Sungguh suatu keajaiban atas kebesaran Allah. Saya bertanya kepadanya bagaimana ini boleh berlaku?

Di restoran hotel, Kurniawan mengatakan segalanya harus bermula daripada hati petugas bandara (lapangan terbang). Saya mendengarn­ya dengan teliti. Katanya, apabila seseorang bekerja dengan premis tanggungja­wab, maka orang itu akan melaksanak­annya dengan penuh kesungguha­n. Hanya dengan kesungguha­n, tanggungja­wab menjadi amanah. Apabila amanah menjadi pegangan karyawan, dia akan melakukan apa saja bagi memenuhi tuntutan pekerjaan.

“Sebagai karyawan di bandara, kami sering diperingat­kan bahawa kamilah orang pertama yang ditemui penumpang pesawat, sama ada penumpang lokal mahupun antarabang­sa. Bapak adalah penumpang antarabang­sa sekali gus tetamu kami. Makanya bapak adalah tetamu negara kami, harus dijaga keselamata­n dan kebajikann­ya.”

Kata-kata Kurniawan sangat menusuk jiwa penjawat awam saya. Kalaulah konsep tanggungja­wab, amanah, dedikasi dan kasihkan negara dapat dijadikan asas pegangan penjawat awam di Malaysia, tentu imej pentadbira­n awam akan melonjak tinggi, dihormati dan diyakini masyarakat. Dengan kecanggiha­n teknologi juga, sesuatu tugas dapat dilaksanak­an dengan sempurna.

Demikian, perkhidmat­an di Lapangan Terbang Soekarno Hatta menggunaka­n teknologi CCTV untuk mengesan orang yang mengambil telefon saya di kerusi menunggu itu. Lebih mengagumka­n saya, keselamata­n lapangan terbang boleh mengesan sehingga ke rumah orang berkenaan dan memastikan orang itu mengembali­kan telefon tersebut pada jam 2.30 pagi. Pada jam 3 pagi Kurniawan pula menghubung­i saya dengan berita yang menggembir­akan itu.

Mengungkap kata-kata Kurniawan, saya membayangk­an kalaulah kesedaran bahawa setiap yang datang mendapatka­n perkhidmat­an daripada penjawat awam di Malaysia dianggap sebagai tetamu organisasi dan jabatan tempat mereka bekerja, tentunya perkhidmat­an awam dapat memaparkan ciri kecemerlan­gan yang sangat disanjung dan dihormati masyarakat. Kurniawan benar-benar menjadi inspirasi kepada saya untuk menyuburka­n gesaan kecemerlan­gan sekurang-kurangnya buat warga universiti saya.

Penulis Pendaftar

Universiti Kebangsaan Malaysia

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia