Harian Metro

Hipertensi boleh membunuh

- Siti Nadirah Hafidzin siti_nadirah@hmetro.com.my

Tekanan dihadapi wanita kini secara tidak langsung jadikan mereka berisiko pada usia muda

Seorang teman lama pernah berkata, wanita adalah insan yang unik. Dalam sibuk menunaikan tugas sebagai pekerja, mereka masih mampu melunaskan tanggungja­wab sebagai isteri dan ibu dengan baik, malah boleh menjaga penampilan agar sentiasa tampak menarik.

Kesibukan menggalas semua tugasan itu juga tidak menghalang wanita mencari ilmu termasuk dalam penjagaan kesihatan. Jadi tidak hairanlah jika di mana-mana forum kesihatan, rata-rata peserta adalah wanita yang berasa bertanggun­gjawab mendapatka­n ilmu untuk memastikan kesihatan diri dan keluargany­a terjaga.

Sikap prihatin dan kesedaran terhadap pentingnya menjaga kecantikan serta kesihatan inilah antara faktor yang membantu melindungi wanita daripada penyakit gaya hidup termasuk tekanan darah tinggi atau hipertensi.

Beberapa kajian menunjukka­n lebih ramai lelaki di bawah usia 65 tahun mengalami masalah ini berbanding wanita. Tekanan darah tinggi berlaku apabila bacaan tekanan darah melebihi atau sama 140/90 mmhg.

Ia antara penyakit paling kerap dialami rakyat Malaysia yang juga menjadi antara pencetus penyakit lain seperti jantung, angin ahmar, kegagalan buah pinggang dan akhirnya menyebabka­n kematian.

Mengupas mengenai penyakit ini, doktor perubatan, Dr Mohd Hanafi Abdull Habir berkata, individu yang mengalami lebihan berat badan atau obesiti juga mempunyai

11 kali ganda risiko untuk mendapat tekanan darah tinggi berbanding individu yang mempunyai berat badan normal.

Menurutnya, sebelum usia mencapai 55 tahun, kadar hipertensi dalam kalangan wanita adalah lebih rendah berbanding lelaki. Namun wanita tidak boleh terus berasa selesa kerana selepas 55 tahun ramai yang mengalami masalah hipertensi.

“Kajian itu mungkin sesuai untuk era dulu apabila wanita kebanyakan­nya tinggal di rumah dan menjaga anak namun semuanya semakin berubah pada era globalisas­i kini.

“Ramai wanita yang perlu bekerja bagi menampung keperluan ekonomi keluarga. Oleh itu, kaum hawa lebih terdedah kepada faktor tekanan. Situasi tekanan ini boleh terjadi di tempat kerja mahupun di rumah,” katanya.

Dr Mohd Hanafi berkata, bayangkan wanita kini terpaksa menyelesai­kan tuntutan kerja pada siang hari dan apabila pulang ke rumah pada waktu malam mereka perlu melakukan kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah, uruskan keperluan anak, suami dan diri sendiri.

“Selain faktor tekanan, tabiat merokok juga boleh menyumbang kepada berlakunya hipertensi.

Benar, kebanyakan wanita tidak merokok tetapi tetap terkena tempiasnya apabila berdepan individu merokok. Ramai wanita menjadi mangsa terdedah kepada asap rokok dan keadaan ini dipanggil ‘perokok pasif’ kerana dikeliling­i lelaki yang merokok di pejabat atau di rumah. Keadaan ini juga boleh menjadi faktor wanita mendapat hipertensi,” ujarnya.

Menurut Dr Mohd Hanafi, semua tekanan yang dihadapi wanita secara tidak langsung menjadikan golongan itu berisiko menghidapi hipertensi pada usia muda.

“Isu tekanan hidup kini semakin hebat dibualkan. Daripada kes perceraian sehingga isu seperti buli di media sosial memperliha­tkan wanita sangat terdedah kepada tekanan hidup sehingga meningkatk­an kadar hipertensi dalam kalangan mereka.

“Saya sering menerima aduan dan rintihan pesakit wanita yang tertekan dan penat dengan tugasan harian. Pesakit hipertensi wanita berusia pula memberitah­u mereka penat kerana perlu menjaga cucu,” katanya.

Katanya, semua faktor itu memerlukan wanita menyusun tugasan harian dengan baik bagi mengurangk­an tekanan dihadapi.

“Suami dan anak perlu memainkan peranan dalam membantu wanita kekal sihat tanpa tekanan melampau.

“Walaupun sukar, penghidap hipertensi perlu berfikiran positif dan cuba berada pada keadaan tenang bagi mengelak sebarang komplikasi lebih teruk terjadi,” ujarnya.

Antara langkah untuk menangani penyakit ini adalah dengan menjalani saringan tekanan darah di klinik dan mendapatka­n nasihat doktor.

“Sama ada di Malaysia mahupun negara lain, peratusan individu yang tidak mengetahui mereka mempunyai hipertensi masih tinggi. Ini kerana ramai yang berasakan mereka sihat kerana tidak mengalami gejala sebarang gejala.

“Jika seseorang itu terdedah kepada tekanan dan mempunyai sejarah keluarga menghidap hipertensi, disarankan menjalani pemeriksaa­n tekanan darah sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan sekali,” katanya.

Katanya, di dalam kehidupan, manusia tidak boleh lari daripada tekanan namun amat penting untuk mengetahui cara menguruska­n tekanan supaya ia tidak menjejaska­n kesihatan. Selain itu, wanita sendiri perlu mengubah gaya hidup yang lebih sihat antaranya dengan melakukan senaman ringan.

“Di samping bersenam, pola pemakanan sihat juga perlu diikuti dengan lebihkan serat seperti sayur dan buah, kurangkan pengambila­n kuantiti nasi dan garam,” katanya.

Menurutnya, bersenamla­h sekurangku­rangnya 30 minit sehari, tiga hingga lima kali dalam seminggu selain mengamalka­n pemakanan seimbang dan menyihatka­n.

“Namun, jika sudah disahkan mempunyai hipertensi, penghidap itu perlu mengambil ubat-ubatan mengikut dos ditetapkan doktor dan mulakan gaya hidup sihat.

“Pemeriksaa­n darah berkala amat penting untuk memastikan buah pinggang, hati, kadar kolesterol dan gula dalam darah adalah normal,” ujarnya.

 ??  ?? HIPERTENSI dalam kalangan wanita.
HIPERTENSI dalam kalangan wanita.
 ??  ?? WANITA perlu uruskan tekanan diri dengan baik bagi mengelak hipertensi.
WANITA perlu uruskan tekanan diri dengan baik bagi mengelak hipertensi.
 ??  ?? SEGERA dapatkan rawatan
sekiranya sering tertekan.
SEGERA dapatkan rawatan sekiranya sering tertekan.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia