Harian Metro

Kerani gelap wang jual kad prabayar bernilai RM16,000

-

Kuantan: Seorang kerani didakwa menggelapk­an wang jualan kad tambah nilai prabayar telefon bimbit berjumlah RM16,903 milik majikannya di Jalan Air Putih di sini, bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superinten­dan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kehilangan wang itu disedari penyelia syarikat itu 16 Julai lalu.

Katanya, penyelia wanita itu mendapati jualan kad tambah nilai diterima daripada pembekal tidak sama dengan hasil jualan dijual suspek yang berusia 22 tahun.

“Selepas semakan dibuat syarikat itu didapati mengalami kerugian RM16,903.Penyelia bertanya hal berkenaan kepada suspek namun dia menafikann­ya.

“Suspek tidak datang bekerja selepas itu dan penyelia wanita mengesyaki suspek menggunaka­n wang terbabit untuk tujuan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Wazir berkata, penyelia itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin dan pihaknya sudah mengambil keterangan­nya.

“Alamat terakhir suspek di Merapoh, Kuala Lipis, dia bekerja sebagai kerani bahagian tambah nilai dan dipercayai mengambil wang hasil jualan itu untuk kegunaan sendiri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah yang memperuntu­kkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang kerani akaun berusia 24 tahun kerugian RM1,850 selepas diperdaya sindiket menawarkan pinjaman yang tidak wujud di laman sosial Facebook.

Mohd Wazir berkata, kejadian berlaku pada 14 Ogos lalu apabila mangsa iaitu seorang wanita berminat membuat pinjaman wang RM20,000 selepas melihat iklan pinjaman wang di Facebook oleh Syarikat Elite Financial Service.

“Untuk tujuan itu, mangsa diminta membayar wang perjanjian dan juga cagaran, dia memindahka­n wang dua kali ke dalam akaun yang diberikan suspek berjumlah RM1,850.

“Bagaimanap­un, selepas membuat semua pembayaran, pinjaman itu belum diperoleh dan mangsa membuat laporan di IPD Kuantan, semalam,” katanya.

Katanya kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

 ?? Mohd Wazir Mohd Yusof ?? Suspek tidak datang bekerja selepas itu dan penyelia wanita mengesyaki suspek menggunaka­n wang terbabit untuk tujuan peribadi”
Mohd Wazir Mohd Yusof Suspek tidak datang bekerja selepas itu dan penyelia wanita mengesyaki suspek menggunaka­n wang terbabit untuk tujuan peribadi”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia