Harian Metro

Terjun elak mati rentung

- Zuliaty Zulkiffli cnews@nstp.com.my

„ Lelaki terjaga tidur selamatkan diri rumah pusaka musnah terbakar awal pagi

Tindakan nekad seorang lelaki terjun dari tingkat atas rumahnya yang sedang terbakar di Kampung Kubang Lintah, Bukit Pinang di sini, menyelamat­kannya daripada rentung.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi semalam, mangsa, Mohd Sobri Ibrahim, 45, yang tidur terjaga sebaik menyedari rumahnya terbakar.

Pada masa sama, adik bongsunya, Mohd Shahrizan, 38, yang tidur di tingkat bawah rumah separa kayu dan batu itu sempat melarikan diri mendapatka­n bantuan di rumah kakaknya bersebelah­an.

Berikutan itu, mangsa yang cedera di kaki dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatka­n rawatan lanjut.

Kakak mangsa, Shahrom Ibrahim, 49, berkata, ibu mereka, Salasiah Ahmad, 81, sebelum ini tinggal di rumah pusaka berkenaan bersama dua adiknya itu namun sejak beberapa hari lalu, ibu mereka tinggal bersamanya kerana demam.

Menurutnya, adiknya Mohd Sobri terjun selepas mendapati tangga di dalam rumah mereka terbakar menyebabka­n dia berusaha menyelamat­kan dirinya.

“Saya bersyukur kerana adik tidak mengalami kecederaan serius atau melecur cuma mengadu kakinya sakit manakala Mohd Shahrizan pula tidak cedera,” katanya.

Shahrom berkata, kejadian berlaku ketika mereka masih meraikan sambutan Aidiladha dan tidak menyangka rumah pusaka itu musnah sekelip mata.

Namun katanya, mereka bersyukur kerana ibunya terselamat.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar Pegawai Bomba Kanan II Mohd Basri Othman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.48 pagi dan pasukan tujuh anggota bersama dua jentera serta sebuah Jentera Perkhidmat­an Perubatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi .

Katanya, setibanya di lokasi kejadian didapati api marak di sebuah rumah kelas B namun kemusnahan hanya membabitka­n 60 peratus.

“Api dikawal 33 minit kemudian daripada terus merebak dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu cuma terdapat seorang penghuni mengalami kecederaan pada kaki. “Mangsa diberi rawatan awal anggota EMRS sebelum dihantar ke HSB untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi turut dibantu Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Nyonya bagi memadam kebakaran.

“Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

 ??  ?? KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kubang Lintah, Bukit Pinang.
KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kubang Lintah, Bukit Pinang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia