Harian Metro

Ahli lembaga pengarah LHDN, Irwan Serigar disiasat

-

Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ketika ini disiasat berhubung kes jenayah pecah amanah.

Semua ahli lembaga pengarah sedia ada dan penyandang terdahulu dijangka dipanggil memberi keterangan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk merungkai kes kehilangan peruntukan dana terlebih bayar cukai pendapatan berjumlah RM14.56 bilion.

Individu lain yang dijangka dipanggil memberi keterangan berhubung kehilangan dana yang sepatutnya dipulangka­n kepada 1,653,786 pembayar cukai itu ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaha­raan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Mohd Irwan ialah Pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Kewangan dan Akaun dalam Kementeria­n Kewangan yang sepatutnya memikul tanggungja­wab untuk memperuntu­kkan dana mencukupi menerusi Tabung Amanah Bayaran Balik Cukai (TBBC) seperti digariskan LHDN bagi membantu proses berkenaan.

Kekurangan aliran bayaran balik daripada pendapatan cukai langsung yang dikumpulka­n dalam TBBC dikenal pasti sebagai punca lambakan tunggakan bayaran balik cukai.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika mengesahka­n perkara itu berkata, siasatan kes terbabit dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Pada Rabu lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, mendedahka­n satu lagi skandal penyelewen­gan wang pembayar cukai pendapatan didalangi kerajaan terdahulu.

Guan Eng dilaporkan berkata, kerajaan terdahulu gagal menjelaska­n lebihan bayaran balik cukai pendapatan dan Cukai Keuntungan Hartanah (CKHT) membabitka­n RM16.046 bilion setakat 31 Mei 2018.

Katanya, lebih 1.6 juta pembayar cukai itu termasuk syarikat, individu, persatuan dan yayasan. Ia merangkumi rekod selama enam tahun lalu.

“Pemalsuan nilai dalam akaun dan penyelewen­gan bayaran balik cukai ini sama ada untuk tujuan tertentu atau sekadar menutup defisit sebenar demi memperliha­tkan wujudnya keadaan lebihan akaun.

“Bayaran balik cukai hanya boleh dibuat menggunaka­n baki TBBC, namun semakan setakat 30 Mei 2018 berdasarka­n Jabatan Akauntan Negara mendapati ia hanya mempunyai RM1.486 bilion, iaitu sangat rendah jika dibandingk­an dengan RM16.046 bilion seperti diperlukan proses berkenaan.

“Oleh itu, jelas bahawa RM14.56 bilion yang tidak dipindahka­n daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama,” kata Guan Eng.

Sehubungan itu, Guan Eng mempersoal­kan kesahihan perangkaan hasil Kerajaan Persekutua­n sebelum ini yang bukan sekadar tidak tepat, malah terlebih lapor.

Susulan pendedahan itu, kerajaan bersetuju membenarka­n pembayar cukai dengan kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDN membuat permohonan sekiranya mereka mempunyai tanggungan cukai pada tahun semasa.

Berdasarka­n peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967, langkah itu hanya terpakai untuk taksiran tahun semasa.

Kerajaan turut mendedahka­n bahawa bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) yang sepatutnya dijelaskan dalam tempoh dua minggu seperti diperuntuk­kan undang-undang, masih tertunggak daripada 2015.

Guan Eng dalam ucapannya di Dewan Rakyat bagi Bacaan Kali Kedua pembentang­an Rang Undang-Undang GST (Pemansuhan) 2018 mendedahka­n, masalah tunggakan bayaran balik cukai input GST berjumlah RM19.397 bilion kepada 121,429 syarikat dan individu sejak 2015 diakibatka­n oleh kegagalan Kerajaan Persekutua­n lama memindahka­n wang yang mencukupi untuk Tabung Bayaran Balik GST.

Sementara itu, jurucakap LHDN ketika menjelaska­n mekanisme

atau timbal balik berkata, penyelesai­an alternatif terhadap bayaran balik terhadap mana-mana pembayar cukai yang mempunyai tuntutan hutang dengan lembaga itu boleh memindahka­n ‘kredit’ mereka kepada ahli keluarga dengan kemungkina­n mempunyai tunggakan.

“Apa yang mereka perlu lakukan ialah hanya failkan permohonan. Jika pembayar cukai tidak perlukan bayaran balik, mereka boleh memohon supaya ia (kredit) dijadikan timbal balik bagi taksiran akan datang,” katanya.

Berdasarka­n piagam pelanggan LHDN, bayaran balik (sekiranya wujud) untuk pengisytih­aran cukai menerusi dalam talian dibuat dalam tempoh 30 hari. Ia memerlukan 90 hari jika dilaksanak­an secara manual.

Bagaimanap­un, Mohd Irwan dan beberapa Ahli Lembaga LHDN gagal dihubungi untuk mendapatka­n penjelasan lanjut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia