Harian Metro

Berbaloi korban raya

-

„ Afifah, Safiyah puas bantu kontinjen negara raih emas

Pengorbana­n menggalas cabaran negara sehingga tidak pulang menyambut Aidilfitri dan Aidiladha bersama keluarga tahun ini nyata berbaloi buat pemain bowling wanita negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

Kedua-dua pemain itu serta rakan sepasukan, Esther Cheah muncul penyumbang pingat emas pertama negara di temasya Sukan Asia 2018, Indonesia apabila mengunggul­i acara trio wanita di Pusat Bowling Jakabaring di sini, kelmarin.

Ketika ketibaan Syawal, Jun lalu, kedua-dua pemain berkenaan menyertai Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat di Orlando dan kini menyambut Aidiladha di sini.

“Pengorbana­n kami sangat berbaloi, walaupun dua hari raya tak disambut di bumi Malaysia,” kata Syaidatul Afifah, 26, pada sidang media selepas majlis penyampaia­n pingat.

Sementara itu, Siti Safiyah Amirah, 27, menghadiah­kan kemenangan itu buat bapanya, Abdul Rahman Mohd Shariff yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-61, hari ini.

“Ayah sangat gembira dengan pingat emas ini. Beliau berkata ini hadiah hari jadinya yang istimewa,” katanya.

Trio itu menamatkan kemarau emas 24 tahun acara berkenaan selepas mencatatka­n 4,326 jatuhan pin, mengatasi trio Taiwan, Pan Yu Fen, Chou Chia Chen dan Tsai Hsin Yi (4,255) dan trio Singapura, Yeo Ruo Qi Joey, Tan Daphne Shi Jing dan Lim Bernice Hui Ying (4,250) yang masing-masing meraih perak dan gangsa.

Satu lagi trio negara – Sin Li Jane, Natasha Mohamed Roslan dan Shalin Zulkifli – menamatkan saingan di tempat keempat selepas mencatatka­n 4,144 jatuhan pin.

Kali terakhir Malaysia merangkul emas acara trio wanita adalah pada edisi 1994 di Hiroshima, Jepun manakala perak diraih pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan dan edisi 2006 di Doha, Qatar. BERNAMA

 ??  ?? AFIFAH (kanan) dan Safiyah (tengah) sambut dua raya di perantauan.
AFIFAH (kanan) dan Safiyah (tengah) sambut dua raya di perantauan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia