Harian Metro

Bank sperma hadapi masalah Britain keluar EU

-

London: Bank sperma di Britain bakal menghadapi masalah kekurangan bekalan apabila negara itu keluar dari Kesatuan Eropah (EU) kerana tidak lagi boleh mengimport sperma dari negara EU.

Menurut laporan kerajaan yang disiarkan Khamis lalu, Britain mengimport kira-kira 3,000 sampel sperma dari bank sperma komersial Denmark tahun lalu, selain 4,000 sampel dari Amerika Syarikat.

Bank Sperma Antarabang­sa Cryos di Denmark menyatakan ia adalah yang terbesar di dunia.

Britain turut mengimport sejumlah kecil telur dan embrio dari negara EU iaitu kira-kira 500 pada tahun lalu.

Menurut kerajaan Britain, bank sperma memerlukan perjanjian bertulis yang baharu dan relevan dengan EU.

“Pertubuhan berdaftar United Kingdom (UK) memegang lesen untuk mengimport tisu dan sel dari negara ketiga, boleh menggunaka­n perjanjian bertulis sedia ada dengan pertubuhan negara ketiga sebagai contoh,” katanya.

Sumbangan sperma di Britain menurun mendadak sejak penderma hilang hak untuk kekal tidak dikenali menurut undang-undang berkuat kuasa pada 2005.

Jika rundingan Brexit gagal, undang-undang yang kini memantau import sperma, tidak lagi terpakai di Britain.

Namun, pengarah Klinik Kesuburan Harley Street, Geetha Venkat, memberitah­u radio Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), pasangan suami isteri di negara itu semakin panik.

Beliau berkata, perubahan undang-undang dalam import sperma AS bermakna ia akan mengambil masa sehingga tiga bulan, manakala import dari Denmark yang selalunya cuma seminggu.

Lebihan kertas kerja menyebabka­n kos tambahan yang dikenakan ke atas pasangan.

“Jika tiada perjanjian dalam Brexit, kami tidak tahu apa akan berlaku.

“Kaedah ini adalah rawatan yang sangat menekan, perkara ini cuma menambah tekanan yang ada,” katanya. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia