Harian Metro

Aktif berkayuh pada usia 62

-

Kimanis: Walaupun umur sudah 62 tahun, ia bukan halangan buat peserta Program Kayuhan Merdeka, Bustaman Awang Sulaiman, untuk bergiat dalam sukan berbasikal.

Bapa kepada enam anak dan datuk kepada 12 cucu ini berkata, minatnya terhadap sukan itu bermula lepas bersara empat tahun lalu.

“Lepas bersara daripada pekerjaan saya sebagai staf jabatan perubatan di Hospital Mesra Bukit Padang empat tahun lalu, saya mula berminat terhadap sukan berbasikal setelah melihat segelintir rakan sebaya meluangkan masa untuk aktif dalam sukan ini.

“Kini sudah masuk dua tahun saya aktif. Setiap minggu saya akan berbasikal di kawasan berbukit-bukau sekitar Kimanis, kawasan ladang milik syarikat Borneo Samudera dan Jalan Keningau.

“Setiap minggu saya akan berbasikal empat hingga lima kali dan setiap kali, saya peruntukka­n waktu hingga tiga jam untuk berbasikal,” katanya.

Anak watan Kimanis ini berkata, beliau selalu mencabar dirinya berbasikal sejauh 20 kilometer (km) biarpun sudah lanjut usia.

“Walaupun saya sudah berusia, saya selalu mencabar keupayaan diri dengan berbasikal sejauh 20 km dan adakala lebih lagi. Selain berbasikal, saya juga selalu berjoging untuk kesihatan.

“Saya kini banyak meluangkan masa berbasikal bersama rakan dalam kelab berbasikal yang saya sertai, Kimanis Cycling Team. Keluarga saya tidak pernah membantah terhadap hobi saya ini malah juga memahami,“katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusuf, berkata, beliau menyokong penuh program anjuran polis daerah Papar itu yang dilihat dapat ‘memasyarak­atkan’ golongan polis dan rakyat.

“Program riadah sebegini dapat ‘memasyarak­atkan’ warga polis dengan rakyat dan diharapkan program sebegini diteruskan lagi bukan sekadar pada sambutan Hari Kebangsaan sahaja tetapi pada hari sambutan lain juga,” katanya kepada media.

Turut hadir, Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan dan Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superinten­dan Ladamah Sulaiman.

Seramai 230 peserta dari 10 kelab berbasikal sekitar daerah Papar, Beaufort dan Kota Kinabalu serta beberapa peserta perseorang­an turut serta dalam program berkenaan.

Peserta program berbasikal sejauh 25 kilometer bermula dari Balai Polis Papar sehingga Balai Polis Bongawan dalam tempoh sejam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia