Harian Metro

BAM MINTA MAAF

- Mohamed Farid Noh farid_noh@nstp.com.my

„ Mesej terakhir mangsa kepada rakan karib sebelum maut dalam

nahas meragut tiga nyawa

Batu Pahat

“Aku minta maaf kalau ada buat salah, satu jek nak pesan, jangan pernah berdendam dengan orang,” kata seorang mangsa kemalangan maut di Kilometer 1.5 Jalan Simpang Lima-Parit Sulong, dekat sini, semalam.

Kata-kata itu antara mesej WeChat sempat dikirimkan, Hamirul Neeza Abdul Rahman Justin, 20, kepada rakan karibnya minggu lalu sebelum maut dalam tragedi berkenaan.

Rakannya, Muhamad Alif Hakim, 20, berkata, Hamirul Neeza yang dipanggil Bam dalam kalangan teman dan keluarga mengirimka­n mesej meminta maaf kepada semua temannya sehingga mereka tertanya-tanya.

Katanya, dua minggu sebelum kemalangan itu, arwah yang ceria dan suka bergurau bertukar murung selepas dua rakan karibnya turut meninggal dunia dalam kemalangan apabila dirempuh kereta di pusat bandar pada 5 Ogos lalu.

“Arwah Bam sering termimpika­n dua rakannya yang meninggal dunia itu dan bertukar menjadi pendiam sehinggala­h dia mengirimka­n mesej meminta maaf kepada kami minggu lalu.

“Saya ada bertanya mengapa dia tiba-tiba meminta maaf daripada semua rakan, namun arwah hanya mengatakan jangan risaukanny­a dan biar dia saja menanggung apa juga masalah dihadapi.

“Malam tadi (kelmarin) saya sempat bertemu arwah di sebuah stesen minyak kira-kira jam 9 malam dan dia mengatakan badannya kepenatan selepas bekerja dan mahu berehat di rumah serta tidak pula memberitah­u akan ke Parit Sulong. Tidak sangka pula itu perbualan terakhir kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, semalam.

Dalam tragedi kira-kira jam 2 pagi itu, tiga penunggang motosikal maut selepas bertembung sesama mereka dalam kemalangan di lokasi berkenaan.

Selain Hamirul Neeza, turut terkorban Muhamad Hamizi Isak, 18, dan Muhammad Fikri Zulhizir, 18, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jenazah Bam dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya selepas solat Jumaat, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia