Harian Metro

HARI-HARI KENA SAMAN

- Siti Rohana Idris cnews@nstp.com.my

Lelaki dikompaun potong di laluan berkembar

kelmarin ditangkap pandu laju semalam

Baru saja kelmarin disaman kerana memotong di laluan berkembar dan terbabit dalam kemalangan jalan raya, tetapi seorang pemuda sekali lagi disaman pihak berkuasa atas kesalahan menguji kelajuan kenderaan di sini, semalam.

Begitulah nasib dialami lelaki berusia 28 tahun selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan di malam sambutan kemerdekaa­n di Jalan Sultan Yahya Petra di sini, jam 3 pagi.

Lelaki itu ketika ditemui mengakui memiliki empat saman termasuk waran tangkap.

Dia berdepan dengan tindakan lebih berat kerana lesen memandunya tamat tempoh sejak beberapa tahun lalu.

“Saya datang dari Kuala Krai bersama isteri dan adik semata-mata melihat sambutan ambang kemerdekaa­n di sini.

“Sebelum balik ke Kuala Krai, saya cuba menguji kelajuan kereta Proton Perdana yang diubah suai enjin ini bersama pemandu lain.

“Isteri dan adik saya hanya menunggu di tepi jalan bersama penonton lain dan dan ternyata tindakan saya ini mengundang padah,” katanya.

Suasana di sepanjang jalan itu bingit dengan bunyi deruman kenderaan masing-masing dan ramai penonton di tepi jalan menyaksika­n acara yang dilihat saling mencabar itu dan suasana semakin panas awal pagi semalam.

Operasi terancang membantera­s samseng jalanan itu membabitka­n 43 anggota termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik Bukit Aman bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dibantu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Komuniti serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik Kelantan Superinten­dan Markandan Subramania­m berkata, 57 kenderaan ditahan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan dan 12 daripada mereka ditahan atas kesalahan menguji kelajuan kenderaan.

“Tinjauan dibuat seawal jam 11 malam selepas kami menerima maklumat aktiviti ini (menguji kelajuan).

“Sasaran kami pemandu kereta yang berlumba sesama sendiri untuk menguji kelajuan kenderaan.

“Siasatan lanjut akan dibuat di bawah Seksyen 81(3) Akta Pengangkut­an Jalan (APJ) 1987 dan sekiranya bersalah mereka akan dikenakan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, 69 saman dikeluarka­n terhadap pelbagai kesalahan termasuk ubahsuai ekzos, lesen tamat tempoh dan tiada lesen memandu.

“Kami merampas tiga motosikal termasuk yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 14 tahun selepas ditahan di Kampung Cherang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia