Harian Metro

DAVE SEDIA BANTU YAKEB

-

Spy Bola turut berasa simpati dengan nasib yang menimpa Yayasan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang sebahagian besarnya dianggotai oleh bekas pemain bola sepak. Khabarnya dana mereka sudah ‘kering kontang’ sehingga tidak mampu untuk terus membantu bekas atlet.

Secara tiba-tiba Spy Bola teringat kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) yang diterajui oleh Datuk DJ Dave. Bukan apa, rasanya kedua dua badan amal itu sahaja fungsinya, cuma, tidak pula terdengar YKAT menghadapi masalah kewangan.

Sekadar untuk berkongsi pandangan, Spy Bola menghubung­i Dave bertanya apa rahsia YKAT mampu berdiri sehingga sekarang tanpa masalah seperti YAKEB.

Dave beritahu Spy Bola, YKAT tidak bergantung penuh kepada dana sumbangan kerajaan sebaliknya berusaha menambah sumber kewangan mereka dengan pelbagai aktiviti.

Dave berkata, beliau sedia duduk semeja untuk berbincang serta merancang pelbagai program bersama YAKEB jika badan itu berminat menjalin kerjasama dengan YKAT.

“Saya tidak berniat campur tangan urusan YAKEB jauh sekali cuba menunjuk pandai atau hendak mengajar. Tapi, jika mereka sudi, saya bersedia bila-bila masa untuk memberi sumbangan berbentuk pandangan, pengalaman dan idea serta bekerjasam­a.

“Banyak program boleh dilaksanak­an bersama antara YKAT dan YAKEB dalam usaha menambah dana. Antaranya karnival sukan berbentuk amal yang membabitka­n artis dan atlet.

“Saya yakin program sebegini akan menarik minat masyarakat untuk mengambil bahagian serta menderma kerana golongan artis dan atlet adalah selebriti yang mempunyai ramai pengikut tersendiri,” kata Dave.

Pada Spy Bola, ini idea yang bagus dan perlu disambut oleh YAKEB. Mungkin mereka boleh mulakan dengan perlawanan bola sepak amal antara artis dengan bekas pemain. Rasanya ramai yang hendak melihat aksi Datuk Soh Chin berdepan Aiman Tino.

Spy Bola: Nak pecah tabung.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia