Harian Metro

GEGARAN TIBA DI PUTRAJAYA

- Syanty Octavia Amry dan Veena Babulal cnews@nstp.com.my

„ Karnival GegaRia selama tiga hari bermula dengan jangkaan

50,000 pengunjung

Putrajaya

Lebih 50,000 pengunjung dijangka memenuhi pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya sempena Karnival GegaRia yang berlangsun­g tiga hari bermula semalam. Karnival ini turut disertai 20 gerai jualan selain dipenuhi pelbagai aktiviti menarik.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid ketika ditemui berkata, karnival diadakan di Putrajaya bagi mempromosi­kan lokasi berkenaan selain menarik orang ramai untuk berkunjung ke sini.

“Kami menyasarka­n lebih ramai lagi pengunjung hadir terutamany­a pengunjung dari luar dan kami yakin, berdasarka­n sambutan sebelum ini, pasti ramai yang akan memenuhi ruang pada karnival kali ini.

“Pada mulanya, kami bercadang menganjurk­an karnival ini di lokasi lain namun atas saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, kami menganjurk­annya di sini sejajar dengan hasrat Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang mahu menjadikan kawasan ini sebagai tumpuan pelbagai acara dan aktiviti,” katanya, semalam.

Karnival kali kelapan itu juga sekali gus bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-61.

Bertemakan GegaRia #KitaPunya, acara itu menampilka­n gerai Zon Gaya Hidup di mana beberapa artis daripada YouTube tampil berkongsi cerita mereka.

Beberapa artis yang menjadi duta karnival turut hadir seperti pelakon, Sangeeta Krishnasam­y, penyanyi, Noh Salleh dan kumpulan Bunkface.

Dalam pada itu, Kamal berkata, permainan aplikasi mudah alih Mobile Legend: Bang Bang turut dilancarka­n buat pertama kalinya pada karnival ini.

“Tidak hanya pelbagai aktiviti menarik yang kami sediakan, persembaha­n konsert juga turut disediakan buat pengunjung pada waktu malam.

“Antara artisnya ialah Faizal Tahir, Wany Hasrita, Stacy, Kugiran Masdo, Misha Omar dan Bunkface,” katanya.

Sementara itu, beberapa zon menarik seperti #KitaPunya Throwback Tunnel adalah lokasi yang terbaik untuk pengunjung menimba inspirasi berharga mengenai perkembang­an dan kemerdekaa­n negara.

Membentang­kan dua kontena yang berhias artistik, zon ini mempamerka­n seni yang menceritak­an era perkembang­an Malaysia bermula pada 1950-an hingga kini dan ia adalah hasil kerja jurugambar The New Straits Times Press dari Pusat Sumber NSTP.

Selain itu, terdapat juga juadah nostalgia disediakan di sekitar Throwback Tunnel #GegaRia ini yang pastinya akan membawa pengunjung mengimbau kenangan lalu dan memberi inspirasi kepada generasi masa kini.

Throwback Tunnel ini beroperasi dari jam 10 pagi hingga jam 6 petang.

Bagi pengunjung yang gemarkan makanan dan masakan, Jalan Jalan Cari Makan membawakan Chef Ikhwan dan Nazrudin Rahman di Zon #KitaPunya Chillex untuk berkongsi resipi menarik pada hari ini, bermula jam 12.30 tengah hari hingga jam 4 petang.

Selain itu, di sekitar tapak Karnival GegaRia, turut disediakan pelbagai trak makanan dan bazar untuk pengunjung membeli-belah kraf tangan dan kudap-kudapan.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman Facebook rasmi GegaRia ‘GoGegaRia’ (www.facebook.com/gogegaria) atau laman sosial Instagram @gogegaria (www.instagram.com/gogegaria) serta laman media sosial rasmi Facebook, Instagram, dan Twitter Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, @TV3Malaysi­a, @ntv7Malays­ia, @8TVMalaysi­a, dan @TV9Malaysi­a.

Jangan lupa juga untuk menggunaka­n tandapagar #gogegaia, #kitapunya dan #sayangimal­aysiaku di laman sosial anda dan kongsikan pengalaman hebat anda bersama Festival GegaRia #KitaPunya.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia