Harian Metro

SEMPAT BELANJA CENDOL

- Noor Hidayah Tanzizi cnews@nstp.com.my

Pengawal mati dipercayai ditembak rakan setugas

Pengawal keselamata­n yang ditemui maut dipercayai ditembak rakan setugas di kilang ubat di Taman Farmasi malam kelmarin, sempat membelikan dan menikmati cendol bersama suspek pada hari kejadian.

Mangsa yang juga Orang Asli, Masri Pandak, 37, dikatakan membeli cendol untuk suspek berusia 52 tahun dan seorang lagi rakan berumur 57 tahun sebelum minum bersama, malah ketiga-tiga lelaki itu bertugas pada syif sama.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superinten­dan Mohamad Zainal Abdullah berkata, mangsa memulakan tugas pada jam 3 petang kelmarin dengan syif tamat jam 11 malam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek memiliki hubungan baik namun tidak menolak kemungkina­n berlaku perselisih­an faham atau masalah peribadi sebelum kejadian.

“Kami tidak mendapat maklumat jika mereka bergaduh atau berselisih faham. Siasatan awal mendapati mereka ada hubungan baik tetapi kami tidak mengetahui apa yang berlaku.

“Kejadian itu bukan berunsurka­n samun kerana barang milik mangsa tidak hilang dan tiada tanda pergelutan. Namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohamad Zainal berkata, polis kini giat mengesan suspek yang menghilang­kan diri selepas kejadian di balai pengawal kilang terbabit.

“Semakan mendapati suspek memiliki rekod kesalahan lampau membabitka­n kes curi. Polis juga memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian antara jam 7.30 hingga 8 malam itu, Masri ditemui maut dengan kesan satu das tembakan di dada kiri.

Tembakan dipercayai dilepaskan oleh rakan sekerja mangsa menggunaka­n pistol milik suspek pada jarak dekat, manakala satu kelongsong dan satu anak peluru ditemui di lokasi kejadian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia