Harian Metro

PASANG TONTO BUNUH GAJAH

- Amin Ridzuan Ishak dan T N Alagesh cnews@nstp.com.my

„ Pak Belalai di Pahang dalam bahaya

sindiket lapah mulut untuk gading

Kuantan

Ditembak di kepala sebelum bahagian mulut gajah dewasa dipotong menggunaka­n gergaji rantai untuk mendapatka­n gadingnya. Itu penyeksaan dilalui seekor gajah dewasa yang kematianny­a dikesan Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang di hutan simpan negeri ini pada akhir tahun lalu.

Penjualan gading gajah mampu memberi pulangan lumayan iaitu mencecah AS$2,000 (RM8,100) bagi setiap satu kilogram (kg) untuk pasaran luar negara menyebabka­n gajah kini berdepan ancaman pemburu haram.

Pembersiha­n hutan mendedahka­n Pahang yang dianggarka­n mempunyai populasi 300 hingga 400 gajah Asia sebagai sasaran utama sindiket terancang terdiri daripada pemburu haram yang mempunyai rangkaian di negara jiran serta rantau ini.

Kawasan hutan dikenal pasti menjadi tumpuan pemburu bagi menangkap haiwan mamalia itu adalah Taman Negara Endau, Lesung, Selancar, Cenderawas­ih, Bukit Ibam, Chemomoi, Kemasul, Hutan Simpan Jelai, Kenong, Kechau, Som, Tekai, Bekelah, Ulu Lepar, Sungai Lembing dan Bukit Sagu.

Pengarah Jabatan PERHILITAN Pahang Ahmad Azhar Mohamed berkata, risikan pihaknya mengesan pergerakan itu turut memasang tonto untuk memeriksa operasi pihak berkuasa dan memberikan maklumat sekiranya melihat kelibat gajah di mana-mana lokasi.

Katanya, pembukaan hutan menyebabka­n gajah berkonflik dan keluar dari hutan untuk mencari kawasan baru yang mempunyai sumber makanan seperti di ladang menyebabka­nnya mudah menjadi sasaran pemburu.

“Memudahkan lagi kerja mereka sekiranya kawasan berkenaan mempunyai akses jalan seperti laluan kayu balak. Memadai jika boleh dilalui motosikal kerana mereka hanya perlu membawa gergaji rantai dan senapang.

“Pemburu akan mengambil peluang ketika kami tidak berada di lokasi. Mereka menembakny­a di bahagian kepala untuk memastikan­nya mati sebelum melapah mulutnya bagi mendapatka­n gadingnya yang turut bersambung dengan gigi taring.

“Kaedah itu cukup kejam. Kami pernah menemui bangkai gajah yang bahagian mulutnya sudah tiada selepas dilapah pemburu haram, keadaannya memang menyedihka­n,” katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut, Ahmad Azhar berkata, pihaknya percaya sindiket berkenaan turut bergerak ke seluruh negara dan mempunyai rangkaian luas termasuk di peringkat antarabang­sa berikutan permintaan tinggi terhadap gading gajah.

“Kami membuat siasatan dan risikan, cuma ia mengambil masa untuk menangkap dalangnya. Di Gerik

(Perak) baru-baru ini pun ambil masa beberapa tahun sebelum pelakunya ditangkap.

“Pencuri ini bijak kerana memasang banyak tonto bagi melihat pergerakan pihak berkuasa.

“Mereka sanggup melakukan apa saja kerana kegiatan itu menawarkan pulangan lumayan,” katanya.

Beliau berkata, di pasaran gelap, satu kilogram gading berharga RM500 hingga RM2,000 di Malaysia dan harganya boleh meningkat sehingga AS$2,000 apabila dijual di luar negara.

“Permintaan­nya tinggi sebab itu, masih ada orang sanggup membunuh gajah bagi mendapatka­n gadingnya.

“Mereka yang didapati menangkap dan membunuh gajah sebagai haiwan dilindungi boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun mengikut Seksyen 68 (1) Akta Pemulihara­an Hidupan Liar 2010,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? BANGKAI gajah yang ditembak untuk diambil gadingnya.
BANGKAI gajah yang ditembak untuk diambil gadingnya.
 ??  ?? LUBANG peluru di badan gajah.
LUBANG peluru di badan gajah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia