Harian Metro

Nekad terjun sungai elak ditahan

-

Chukai: Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia luka di kepala dipercayai terhantuk pada objek keras selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan Ops Mega 3.0 (SAPU), semalam.

Serbuan kira-kira jam 1 pagi itu dilakukan di rumah kongsi projek membina dan menyiapkan tapak infrastruk­tur penambakan tanah di Kawasan Perindustr­ian Kertih.

Dalam serbuan itu, lelaki berusia 30-an yang terjaga daripada tidur melarikan diri dalam gelap selepas terkejut bunyi salakan anjing di kawasan berkenaan.

Susulan bunyi bising haiwan terbabit, kawasan berkenaan yang sebelum itu sunyi bertukar kecoh apabila ada pekerja asing bertindak agresif, malah ada melarikan diri ke hutan berhampira­n.

Kerana panik, ada antara mereka bergadai nyawa apabila terjun ke dalam Sungai Kertih yang terletak hanya beberapa meter dari kawasan berkenaan.

Keadaan itu juga menyebabka­n ada anggota mengalami calar pada badan apabila terpaksa bergelut bagi menghalang PATI yang bertindak agresif dalam usaha melepaskan diri.

Pengarah JIM Terengganu Rahim Hanafi berkata, serbuan oleh 18 pegawai dan anggota itu diketuai Ketua Timbalan Penolong Pengarah JIM Terengganu yang juga Ketua Bahagian Penguat kuasa Mohd Muda.

Katanya, dalam operasi bermula jam 11 malam kelmarin, pihaknya menahan seramai 40 PATI termasuk empat wanita dan seorang kanak-kanak lelaki Indonesia berusia empat tahun hasil serbuan di tiga lokasi di kawasan perindustr­ian berkenaan dan sebuah rumah sewa di Paka, Dungun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia