Harian Metro

Aktivis sosial tak malu dekati gelandanga­n

- Erika George cnews@nstp.com.my

Mencari rezeki, menabur bakti dan menambah amal, begitu prinsip Ikon Metro minggu ini, Francis Ngu Hown Hua, 43, dalam melaksanak­an kerja kebajikan membantu golongan kurang bernasib baik serta memerlukan. Memiliki perniagaan sendiri dan mengusahak­an bisnes secara dalam talian, Francis anak bongsu daripada empat beradik, aktif menjalanka­n kerja amal sejak empat tahun lalu.

Bagi memudahkan kerjanya, beliau menggunaka­n laman sosial Facebook Bintulu News bagi mengetahui mana-mana individu atau keluarga, termasuk ibu tunggal dan anak yatim yang menghadapi kesulitan, yang dimuat naik oleh netizen sebelum menjejaki atau menghubung­i kumpulan sasar terbabit untuk menyalurka­n bantuan.

“Antara yang pernah saya bantu, seorang gelandanga­n yang tidak mempunyai wang untuk membeli tiket bas ke Miri bagi menemui kakaknya.

“Saya bawanya pergi makan dahulu, dan kemudian belikan tiket bas untuk dia balik ke Miri bertemu dengan kakaknya,” kata Francis ketika mengimbau kerja amal yang pernah dilakukann­ya.

Katanya, beliau rasa amat puas jika dapat membantu menyelesai­kan masalah yang dihadapi seseorang.

“Kes yang paling dekat di hati saya ialah kisah seorang warga emas iaitu Nara Empam, 60, dan seorang cucunya yang masih kecil, yang tinggal di kawasan setinggan di belakang kawasan perkuburan Cina Batu 2, di sini.

“Selepas pendedahan mengenai kesulitan yang dihadapi, mereka kini mendapat bantuan RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, selepas kisah Nara dan cucunya dimuat naik ke Bintulu News, masyarakat mula sedar, dalam kita mengejar kesenangan hidup, nasib golongan miskin dan hidup merempat tidak harus dilupakan.

Menjadi lumrah kehidupan, sesuatu perjuangan pasti ada dugaannya dan Francis turut mengalamin­ya apabila pada mulanya usaha murni beliau mendapat kritikan serta kecaman sesetengah pihak yang menuduh beliau sengaja mensensasi­kan sesuatu berita.

“Tetapi saya jadikan kritikan itu sebagai pendorong dan hasilnya, lebih 50 keluarga dan individu saya bantu setakat ini sekali gus menjadi kejayaan besar buat aktivis sosial yang bergerak secara solo seperti saya.

“Menjadi kepuasan bagi saya sekiranya dapat membantu orang yang dilanda kesusahan, kerana bagi saya, rezeki yang kita peroleh akan lebih berkat sekiranya kita menghulurk­an sedikit bantuan bagi meringanka­n beban yang terpaksa mereka tanggung,” katanya.

Beliau berkata, sekecil manapun bantuan yang diberi, ia tetap menjadi bentuk pertolonga­n yang bermakna buat golongan memerlukan.

Pada masa sama beliau berharap lebih banyak lagi golongan berkerjaya dan eksekutif muda sekitar Bintulu membabitka­n diri dalam kegiatan amal bakti bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia