Harian Metro

Wanita rugi RM34,101 diperdaya ‘kenalan’

-

Jerantut: Akibat terlalu mempercaya­i kenalan dari luar negara yang dikenali menerusi Facebook seorang suri rumah kerugian RM34,101 selepas diperdaya sindiket Love Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superinten­dan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula Julai lalu apabila mangsa berusia 60 tahun yang tinggal di Taman Intan, Jerantut berkenalan dengan seorang lelaki bernama Ying Jimmy di Facebook dan kononnya menetap di Amerika Syarikat (AS).

“Dalam sesi perkenalan berkenaan, suspek meminta mangsa membantuny­a membuka syarikat di Malaysia. Bagi tujuan berkenaan, suspek kononnya mahu memberi wang sejumlah AS$1 juta (RM4.13 juta) kepada mangsa bagi memudahkan urusan itu.

“Lelaki berkenaan memaklumka­n, dia ada menghantar bungkusan berisi wang pada 13 Ogos lalu. Pada 15 Ogos lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang memintanya membayar insurans bagi memudahkan proses penerimaan bungkusan itu.

“Bermula 16 Ogos sehingga 17 Ogos lalu mangsa membuat pindahan wang sebanyak enam kali ke dua akaun yang diberikan oleh suspek untuk pelbagai bayaran termasuk bayaran peguam dan insurans,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Beliau berkata, selepas memasukkan semua wang itu, suspek berkenaan memaklumka­n terdapat masalah dengan bungkusan berkenaan dan meminta mangsa membayar RM30,000. “Mangsa tidak membuat bayaran berkenaan dan mula menyedari diri ditipu oleh sindiket itu. Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang pemandu lori berusia 26 tahun kerugian RM12,050 diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud di Facebook pada 26 Ogos lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia