Tauke ketum masuk jerat
Lelaki guna khidmat 23 warga Kemboja petik daun tanpa dokumen sah ditahan
Serbuan polis di dua blok rumah ladang di Kampung Lamdin, Naka, dekat sini, malam kelmarin, menyelamatkan 23 warga Kemboja termasuk tiga kanak-kanak yang menjadi mangsa eksploitasi dengan bekerja sebagai pengutip daun ketum sejak enam bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Alatrash Wahid berkata, serbuan jam 12.15 tengah malam itu dilakukan anggota Taskforce ATIPSOM D9 diketuai Asisten Superintendan Saudi Abdul Rahman dari JSJ Kedah dan dibantu JSJ Padang Terap.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dua rumah ladang menemui 11 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 25 hingga 30-an bersama dua kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan berusia antara lima hingga 10 tahun.
“Berikutan itu, kita turut menahan seorang lelaki rakyat tempatan berusia 46 tahun dipercayai majikan kepada mangsa dan pemeriksaan rekod mendapati dia mempunyai kesalahan lampau berkaitan Akta Racun.
“Siasatan awal mendapati suspek menggaji semua mangsa untuk bekerja sebagai pemetik daun ketum secara tidak formal dan tanpa permit atau dokumen yang sah,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.
Mior Farid berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tiga khemah dipasang bagi mengumpul daun ketum di dalam 205 bungkusan seberat 1,025 kilogram (kg).
“Kita mendapati suspek terbabit dalam kegiatan menanam dan mengupah serta menggaji warga asing untuk melakukan kegiatan memetik daun ketum sebagai sumber pendapatan komersial tanpa dokumen sah.
“Terdapat unsur eksploitasi dan perkhidmatan paksa yang menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang & Antipenyeludupan Migran 2007 ( Akta 670 ) dan siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Difahamkan, semua pekerja terbabit tidak memahami bahasa tempatan atau undang-undang negara ini menyebabkan mereka mudah dieksploitasi pihak tertentu sehingga diperguna.
Semua daun ketum yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM20,000 dengan suspek mampu meraih jualan mencecah RM60,000 sebulan.