Harian Metro

Dipenjara setahun

- Ifwan Tun Tuah ifwan@nstp.com.my

„ Datuk Anggun mengaku salah kes skim penipuan perumahan

Mahkamah Majistret di sini, semalam, menjatuhka­n hukuman penjara setahun terhadap pemilik syarikat Juta Kelulut Global Sdn Bhd yang sebelum ini dikaitkan dengan skim penipuan perumahan di beberapa negeri.

Majistret Mahyun Yusof membuat keputusan itu terhadap Siti Norbaiyah Yahya, 43, yang turut dikenali sebagai Datuk Anggun selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh menipu seorang lelaki berusia 33 tahun dengan memberi cek RM15,000 didaftarka­n atas nama Juta Kelulut Global Sdn Bhd, namun tidak dapat ditunaikan kerana dia mengarahka­n bank menghentik­an pembayaran.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh melakukan kesalahan sama terhadap mangsa sama dengan masing-masing membabitka­n cek bernilai RM17,500.

Semua kesalahan itu dilakukan di kawasan Nilai, dekat sini, masing-masing pada 31 Mac, 30 April dan 31 Mei tahun lalu.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintah­kan tertuduh dipenjara 11 bulan bagi pertuduhan pertama dan masing-masing setahun bagi pertuduhan kedua dan ketiga dengan semua hukuman bermula serentak dari tarikh dia ditahan polis.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azri manakala tertuduh diwakili peguam Noor Azizi Abdull Aziz.

Mengikut fakta kes, mangsa tertarik dengan tawaran projek pembinaan banglo di tanah sendiri diiklankan menerusi Facebook tertuduh sebelum menandatan­gani perjanjian jual beli dan dokumen bagi melengkapk­an tempahan pada 26 Jun 2016.

Mangsa kemudian membuat pembayaran RM60,000 kepada syarikat itu, namun selepas mendapati tiada kerja pembinaan dilakukan di tanahnya selama enam bulan, dia cuba mendapatka­n penjelasan daripada tertuduh.

Tertuduh bagaimanap­un mengelak bertemu mangsa sebelum memberitah­u akan memulangka­n wang sejumlah RM57,000 dengan RM3,000 dipotong bagi urusan ukur tanah.

Mangsa kemudian menerima tiga cek daripada syarikat milik tertuduh antara 31 Mac hingga 31 Mei tahun lalu, namun tidak dapat ditunaikan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia