Harian Metro

Bekas bos MEIO fail saman pemula

-

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak membenarka­nnya berjumpa dan berunding dengan peguam ketika direman berhubung siasatan salah guna kuasa dan penyelewen­gan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Hasanah memfailkan saman itu melalui Tetuan Azam Aziz Shahrudina­li & Co pada 30 Ogos lalu.

Beliau menamakan SPRM dan kerajaan sebagai responden.

Semalam ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizah Nawawi.

Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah ketika ditemui berkata, mahkamah sudah menetapkan 24 September ini mendengar permohonan saman itu.

Berdasarka­n notis usul, Hasanah memohon perisytiha­ran bahawa surat pemberitah­uan dikeluarka­n SPRM mengikut Seksyen 28A (8) (9) Kanun Acara Jenayah (KAJ) untuk menyekat hak pemohon daripada berunding dengan peguamnya sepanjang tempoh direman adalah bertentang­an dengan Fasal 5(3) dan Fasal 8 Perlembaga­an Persekutua­n.

Beliau mendakwa Seksyen 28A terbabit adalah tidak sah, batal dan tiada kesan serta tidak boleh dikuatkuas­akan terhadapny­a.

Sementara itu, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Hasanah melalui afidavit sokonganny­a berkata, pihaknya mengetahui anak guamnya ditangkap pada 28 Ogos lalu pada jam 5 petang.

Menurutnya, ahli keluarga Hasanah mengarahka­n mereka hadir keesokan harinya dalam prosiding reman di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Mohd Khairul Azam mendakwa, mereka diberi salinan pemberitah­uan mengikut Seksyen 28A (8) (9) KAJ bahawa Hasanah tidak dibenarkan/disekat daripada berunding dengan peguam.

Beliau mendakwa, berdasarka­n Fasal 5(3) Perlembaga­an Persekutua­n, seseorang yang ditangkap hendaklah diberikan dua hak kebebasan asasi iaitu hak untuk berunding dan dibela oleh peguam.

Menurutnya, Fasal 5(3) Perlembaga­an Persekutua­n bukan hanya terpakai terhadap seorang yang dituduh di mahkamah tetapi terpakai kepada mana-mana orang ditangkap.

Tambah beliau lagi ada isu undang-undang yang mustahak untuk diputuskan oleh mahkamah bagi mengisytih­arkan Seksyen 28(8) dan (9) KAJ adalah bertentang­an dengan Perlembaga­an Persekutua­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia