Harian Metro

‘Tumpo nanti yob’

- Rodly Fadly sukanteam@nstp.com.my

„ Karathu gesa Bos Gaurus buat keputusan bijak sebelum ambil Ronaldinho

Bekas jurulatih Perak, Datuk M Karathu mempunyai pesanan khas buat pengurusan Bos Gaurus: “Jangan membazir.”

Bagi beliau, eloklah Perak melupakan hasrat untuk mendapatka­n khidmat legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho atas alasan gaji RM618,000 sebulan sebagai tidak berbaloi.

Apatah lagi, bekas bintang Barcelona dan AC Milan itu juga sudah ‘pencen’ dan mungkin tidak mampu beraksi seperti dulu dengan usianya yang sudah menghampir­i angka 40.

“RM618,000 sebulan terlalu tinggi bagi pemain yang sudah pencen walaupun tidak dinafikan dia mempunyai nama besar dalam bola sepak.

“Janganlah membazir kerana jumlah yang diminta itu bukan kecil. Kalau sebulan RM618,000, cuba kita darabkan dengan 12 bulan, maknanya pasukan perlu berbelanja hampir RM7.5 juta setahun untuk seorang pemain,” kata Karathu.

“Soal mampu atau tidak bukan persoalan, kalau mampu sekalipun saya anggap ia tidak berbaloi dan satu pembaziran. Lebih baik wang sebanyak itu kita gunakan untuk pemain tempatan.

“Lagipun pada usia hampir 40 tahun, apatah lagi sudah bersara sejak hampir setahun, adakah prestasiny­a masih seperti dulu?”

Bagaimanap­un, Karathu berkata, jika Perak atau mana-mana pasukan tetap berhajat untuk melamar Ronaldinho, mereka perlu mengujinya terlebih dulu bagi memastikan pembelian itu benar-benar berbaloi.

“Kita tidak nafikan Ronaldinho adalah satu nama besar yang boleh menjadi daya penarik tapi nama saja tidak menjamin kejayaan kerana yang lebih penting adalah prestasi di dalam padang.

“Kalau dia bagus penyokong akan datang stadium tapi jika gagal mempamerka­n prestasi seperti diharapkan, penyokong akan menolaknya walaupun dia seorang bintang,” katanya.

Ronaldinho, 38, yang pernah mengecap kejuaraan Piala Dunia 2002, mengumumka­n persaraan pada Januari lalu dengan kelab terakhir diwakili adalah Fluminense.

Kelmarin, Sukan NSTP melaporkan ejen Ronaldinho menetapkan gaji RM618,000 sebulan bagi mana-mana pasukan yang berminat mendapatka­n khidmat bekas pemain

itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia