Harian Metro

Lori sawit angkut pakaian ‘bundle’ ke sempadan

-

Kuching: Taktik tiga lelaki menggunaka­n lori mengangkut buah kelapa sawit untuk menyeludup pakaian terpakai atau ‘bundle’ ke negara jiran berjaya dikesan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, dua lori sarat dengan muatan pakaian terpakai itu dikesan ketika melalui ‘jalan gajah’ di kebun kelapa sawit Kampung Stass, Bau, berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia.

Tiga lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun itu tidak menyedari pergerakan mereka diekori anggota risik Batalion 11 PGA.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Superinten­dan Rosdi Inai berkata, hasil maklumat risikan, lima pegawai dan anggotanya bersama tiga pegawai Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat tindakan susulan dengan menahan dua lori berkenaan kira-kira 200 meter dari sempadan.

Beliau berkata, sebaik dipintas, kedua-dua lori berkenaan berhenti dan ketiga-tiga suspek tidak sempat melarikan diri.

Menurut Rosdi, ketika pemeriksaa­n dijalankan, pemandu kedua-dua lori itu gagal menunjukka­n sebarang dokumen pelepasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk membawa barangan itu keluar dari negara ini.

“Melihat jalan yang mereka gunakan pun kita sudah tahu mereka memang ada niat menyeludup barangan itu keluar ke negara jiran.

“Laluan sah untuk membawa keluar dan masuk barangan dari Malaysia ke Indonesia dan sebaliknya hanyalah melalui Tebedu, tetapi lori itu dikesan melalui jalan gajah dalam kebun kelapa sawit berdekatan sempadan,” katanya pada sidang media, semalam.

Rosdi berkata, pemeriksaa­n lanjut mendapati 120 guni penuh dengan pakaian terpakai di dalam kedua-dua lori berkenaan.

“Berdasarka­n harga pasaran semasa, semua pakaian terpakai dirampas dari dua lori berkenaan dianggarka­n bernilai RM50,000 manakala jumlah keseluruha­n rampasan termasuk dua lori dianggarka­n berjumlah RM190,000.

“Semua suspek serta barang rampasan diserahkan kepada JKDM untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia