Harian Metro

UUM MESRA PELAJAR OKU

„ Pelajar OKU gembira daftar pengajian di UUM

- Noorazura Abdul Rahman dan Yuzfazrina Amira Yuzri cnews@nstp.com.my

Kekurangan yang dimiliki seorang anak tukang rumah tidak pernah menjadi penghalang kepadanya untuk mengejar cita-cita, sekali gus berusaha mengubah nasib keluarga.

Muhammad Faiz Roslan, 20, yang tidak mampu berjalan sejak kecil akibat masalah saraf antara ribuan penuntut baharu Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mendaftar di universiti berkenaan, semalam.

Dia yang berasal dari Jitra berkata, UUM menjadi pilihan utama melanjutka­n pengajian kerana mendapati kemudahan di universiti itu mesra orang kurang upaya (OKU), selain memiliki infrastruk­tur lengkap.

“Bapa hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan.

“Melihat kesusahan bapa mencari rezeki untuk menyara keluarga, saya nekad belajar bersungguh-sungguh demi mengejar cita-cita sebagai pakar ekonomi dan kembali menabur bakti untuk keluarga.

“Bagi saya peluang hanya datang sekali dan UUM menjadi pilihan utama selepas saya membuat kajian mengenai kemudahan di sini yang ternyata sangat mesra OKU,” katanya yang memilih bidang Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans.

Seorang lagi penuntut OKU, Siti Hadijah Amdan, 20, berasal dari Kluang, Johor, berkata, kemalangan pada 2014 mengubah dirinya apabila hilang tumit kanan dan terpaksa berjalan menggunaka­n tongkat.

“Saya sudah menjalani 10 kali pembedahan pada bahagian tumit dan dua pembedahan plastik bagi membuat tumit baharu namun belum dapat berjalan secara normal.

“Bagaimanap­un, kekurangan ini tidak menjadi penghalang bagi saya mencapai cita-cita terutamany­a setiap kali melihat bapa yang hanya bekerja sebagai pemotong rumput di kampung,” katanya yang memilih bidang Sarjana Muda Komunikasi.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani dalam sidang media berkata, seramai 4,764 penuntut baharu termasuk antarabang­sa memulakan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di universiti itu mulai semalam.

Katanya, daripada jumlah keseluruha­n penuntut yang mendaftar, seramai 3,025 iaitu 74.2 peratus daripada mereka daripada keluarga dalam kategori B40.

“Kami ingin memberi peluang kepada penuntut kategori ini agar mereka dapat mengubah nasib keluarga, namun pada masa sama kita turut mementingk­an kualiti dan mereka sememangny­a pelajar pintar.

“Bagi penuntut yang betul-betul tidak berkemampu­an, mereka tidak perlu bimbang mengenai yuran kerana kami sudah menyediaka­n wang kebajikan untuk mereka,” katanya.

Selain itu, UUM turut menerima 290 penuntut antarabang­sa merangkumi 143 penuntut dari 19 negara dan 147 penuntut mobiliti.

Bagi saya peluang hanya datang sekali dan UUM menjadi pilihan utama selepas saya membuat kajian mengenai kemudahan di sini yang ternyata sangat mesra OKU”

Muhammad Faiz

 ??  ??
 ??  ?? DR Ahmad Bashawir (empat dari kiri) bersama pelajar baharu yang terpilih menerima bantuan daripada UUM, semalam.
DR Ahmad Bashawir (empat dari kiri) bersama pelajar baharu yang terpilih menerima bantuan daripada UUM, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia