Harian Metro

‘Banduan itu tetap ayahku’

- Agensi

„ Remaja sertai lawatan sekolah ke penjara terkejut lihat bapa jadi tahanan

Lawatan sekolah ke sebuah penjara Thailand secara tidak sengaja membawa kepada pertemuan semula yang menyayat hati antara seorang pelajar dengan bapanya yang juga tahanan di situ.

Dalam kejadian itu, banduan terbabit menangis teresak-esak kerana bimbang anaknya malu melihatnya sebagai seorang tahanan penjara di depan rakan sekolahnya, menyebabka­n remaja itu terus sujud di kakinya tanda hormat dan kasih.

Detik berkenaan diceritaka­n melalui keterangan dimuat naik ke Facebook kelmarin, dengan dua beranak yang tidak didedahkan identiti mereka terus menerpa dan saling memeluk sebaik dibenarkan berjumpa di penjara di wilayah Rayong itu.

Ketua pasukan organisasi Jam Banjeud Rayong, Arom Khunmoung, yang menganjurk­an lawatan itu berkata, dia terkejut apabila tiba-tiba melihat seorang pelajar yang menyertai rombongan berkenaan memandang sayu ke arah seorang tahanan.

“Saya pelik kerana pelajar berkenaan menangis, malah, lebih menghairan­kan lagi, banduan itu turut memandang remaja terbabit sambil menangis.

“Saya terus bertanya pelajar itu apa yang berlaku dan terkejut apabila dia menjawab, ‘Cikgu, itu ayah saya. Saya terkejut melihatnya di sini.’

“Dia meminta izin bercakap dengan ayahnya dan ketika itu memang saya tidak pasti sama ada itu idea yang baik,” katanya.

Arom yang menggambar­kan penjara itu sebagai tempat yang boleh membuat seseorang murung, kemudian meminta izin wardar untuk dua beranak itu bertemu, lapor Coconuts Bangkok.

Sebaik mendapat izin, bapa dan anak terbabit segera berlari dan berpeluk, manakala semua yang menyaksika­n kejadian itu turut menitiskan air mata.

“Si bapa asyik mencium anaknya dan berulang kali memohon maaf serta berkata, betapa dia merinduiny­a. Katanya, ‘Apabila meninggalk­an tempat ini saya akan menjadi lebih baik. Jadilah anak yang baik’,” katanya.

Menurutnya, bapa berkenaan turut bertanya anaknya sama ada dia malu kerana rakannya melihatnya dia dalam penjara dan remaja itu terus menjawab ‘Tidak, saya tidak malu langsung’ sebelum sujud tanda hormat di kaki ayahnya mengikut adat Thai.

Kesalahan dan tempoh hukuman dijalani banduan terbabit tidak dinyatakan.

Arom berkata, remaja terbabit amat gembira dibenarkan menemui bapanya.

Menurutnya, lawatan ke penjara seperti itu amat penting untuk mengajar erti bersyukur dan menghargai dapat menjalani kehidupan biasa.

 ??  ?? REMAJA itu sujud di kaki bapanya tanda hormat. - Daily Mail
REMAJA itu sujud di kaki bapanya tanda hormat. - Daily Mail
 ??  ?? DUA beranak itu berpeluk dan menangis. - Daily Mail
DUA beranak itu berpeluk dan menangis. - Daily Mail

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia