Harian Metro

Syed Saddiq prihatin krisis dialami skuad badminton

-

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menekan butang panik selepas melihat prestasi hambar pemain badminton negara pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang melabuhkan tirainya Ahad lalu.

Pada temasya itu, skuad badminton negara pulang dengan tangan kosong - ‘malapetaka’ kali pertama dalam tempoh 32 tahun sejak menyertai temasya berkenaan.

Katanya, badminton antara sukan utama yang diletakkan harapan tinggi bagi menamatkan penantian pingat emas Malaysia pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo dan usaha perlu bermula dari sekarang bagi memastikan matlamat itu tercapai.

“Semua meletakkan harapan tinggi terhadap badminton dan saya percaya mereka mampu melangkah lebih jauh. Namun, usaha perlu bermula dari sekarang, kena tahu setiap masalah dialami pemain dan kalau perlu jumpa pemain sebulan sekali, saya akan buat.

“Saya tahu BAM (Persatuan Badminton Malaysia) melakukan banyak perkara ke arah itu dan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (Presiden BAM) sudah memaklumka­n mengenai perancanga­n mereka. Kita perlu fokus dengan berbekalka­n semangat Malaysia Boleh,” katanya.

Sementara itu, Norza ketika ditanya mengenai kebimbanga­n Syed Saddiq berkata, BAM berjanji akan melakukan yang terbaik bagi merealisas­ikan matlamat di Tokyo termasuk memastikan Malaysia mempunyai dua wakil layak beraksi bagi setiap acara pada temasya itu.

“Seperti yang semua tahu, sejak beberapa tahun kebelakang­an ini, kita terlalu bergantung kepada pemain senior sehingga mengakibat­kan kita gagal capai keputusan baik. Sebab itu, pendekatan kita sekarang adalah fokus kepada pemain bawah 23 tahun.

“Sebenarnya ia bukan perkara baru kerana sejak saya mengambil alih tugas presiden (April 2017), ia sudah dimulakan dan kita dapat lihat pemain seperti Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Goh Jin Wei dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menunjukka­n peningkata­n prestasi yang baik.

“Cuma, saya minta semua bersabar. Kami dalam dilema kerana apabila beri peluang kepada pemain senior, mereka perlu tunjuk keputusan baik, jika tidak pelaburan kita selama ini dianggap tidak berhasil. Sebab itu kami bagi mereka tempoh tiga bulan sehingga Disember untuk buktikan prestasi sebenar.

“Pada masa sama, kami akan meneruskan program untuk pemain muda,” kata Norza.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia