Harian Metro

Masjid lubuk duit simpati

-

Kuala Lumpur: Masjid Negara turut menjadi tumpuan pengemis termasuk mualaf dan kanak-kanak meminta sedekah sewaktu solat Jumaat. Tinjauan Harian Metro mendapati lebih 20 individu termasuk sembilan kanak-kanak menjadikan sekitar Masjid Negara sebagai lokasi bagi meminta sumbangan atau sedekah daripada jemaah semalam.

Mualaf berkenaan dipercayai warga tempatan manakala selebihnya warga asing termasuk pelarian Rohingya dan Syria, selain wanita tempatan bersama lima anak serta seorang orang kurang upaya (OKU).

Mereka berada di kawasan berkenaan seawal jam 12 tengah hari dengan menunggu di sekitar pintu masuk, tangga dan kaki lima masjid sambil memegang beg plastik serta cawan bagi meminta simpati orang ramai.

Malah, ada di antara individu didapati memegang bekas yang dilekatkan kertas yang tertera tulisan memaklumka­n mereka menghidap penyakit kronik termasuk kanser bagi meraih simpati orang ramai.

Bagi mendapatka­n maklumat lanjut, wartawan cuba mendekati seorang lelaki mualaf berusia 50-an yang meminta sedekah di pintu masuk masjid.

Ketika ditanya mengenai kegiatanny­a itu, individu yang memegang tongkat beserta bekas berisi wang berkenaan mendakwa dia menghidap asma dan tidak dapat bekerja.

“Saya perlukan wang untuk perubatan dan menampung perbelanja­an harian kerana hidup sebatang kara di ibu kota ini.

“Malah, adik-beradik juga enggan membantu selepas saya memeluk Islam,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang jemaah Mohd Nazmi Syakir, 35, ketika ditemui mendakwa kawasan terbabit sering menjadi tumpuan pengemis terutama solat Jumaat memandangk­an ramai yang berkunjung ke Masjid Negara bagi menunaikan solat.

“Saya memang selalu menunaikan solat Jumaat di sini kerana ia berdekatan dengan tempat kerja.

“Pengemis terbabit sering dilihat sewaktu umat Islam menunaikan solat Jumaat.

“Kami harap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu terhadap mereka dan sekiranya mereka betul-betul susah kita harap pihak kerajaan dapat membantu mereka.

“Bagaimanap­un, sekiranya didapati ada di antara mereka sengaja mencari jalan mudah untuk mendapatka­n wang, kita harap pihak berwajib dapat mengenakan tindakan supaya kegiatan ini tidak terus berlarutan kerana boleh menjejaska­n imej negara memandangk­an Masjid Negara ini turut menjadi tumpuan pelancong dari luar negara,” katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan mengenai satu sindiket yang didapati menjadikan mualaf sebagai sasaran untuk melakukan peras termasuk memaksa saudara baru berkenaan meminta sedekah.

Perkara terbabit didedahkan oleh Yayasan Mualaf Malaysia (YMM) menerima aduan mengenai kegiatan sindiket berkenaan yang turut mengenakan caj RM300 bagi individu yang ingin memeluk Islam.

 ??  ?? LELAKI tempatan memberikan wang kepada kanak-kanak yang meminta sedekah di pekarangan Masjid Negara selepas solat Jumaat, semalam.
LELAKI tempatan memberikan wang kepada kanak-kanak yang meminta sedekah di pekarangan Masjid Negara selepas solat Jumaat, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia