Harian Metro

DENGAN ANAK

-

„ Ibu bapa perlu luang masa berkualiti

bagi mengukir kenangan bersama

Ia bagus, namun ramai anak memiliki IQ hebat tapi tidak menyedari kemampuan sebenar potensi mereka.

Mereka selalu berasa tidak boleh, mudah menyerah, mudah mengalah dan berputus asa. Mereka lebih cenderung menyelesai­kan masalah dengan dadah berbanding mencari Allah.

Jika membuat sesuatu pencapaian sekalipun, mereka merasakan itu cuma kebetulan dan berasa tidak mampu mencapainy­a lagi pada masa depan.

Mereka tidak mampu menghargai pencapaian itu kerana menganggap diri tidak berharga.

Baik atau buruk dilakukan, mereka sudah biasa dimarahi atau tidak dipedulika­n dan tidak dihargai. Itulah kesan jika anak tidak diberikan kedekatan emosi. Anak percaya harga dirinya rendah lalu tidak akan belajar hakikat kehidupan dengan lebih baik.

Oleh sebab itu, bukan bekalan akal saja yang penting tetapi bekalan emosi juga perlu diberikan perhatian. Anak pasti bahagia duduk berdekatan dengan ibu bapanya kerana mereka dapat bercerita, berteka-teki, bernyanyi dan bergurau senda yang sangat indah bagi mereka.

Tatkala berjauhan, mereka sentiasa merindui kita. Apabila berjauhan, mereka tidak sabar menemui kita semula. Mereka mendoakan kita selamat pergi dan selamat pulang.

Mereka lebih teruja dengan kehadiran kita berbanding buah tangan kita bawa. Kita mungkin tertanya-tanya, apabila bersama anak kadangkala kita mudah geram kerana anak sukar mendengar kata.

Apa seharusnya kita lakukan? Hukum alam, orang mempunyai hubungan akrab akan lebih mudah diikuti berbanding orang yang pintar atau bijak.

Ini bukan saja berlaku dalam dunia anak, bahkan dunia politik.

Parti politik kelihatan menyantuni masyarakat dengan baik dan mempunyai integrasi tinggi lebih mudah menarik simpati orang ramai.

Namun, benarkah kita sudah mengadakan masa berkualiti dengan anak atau sekadar ungkapan penyedap rasa kita saja?

Jika benar, sudah pasti anak mempunyai banyak kenangan indah yang mengikat kedekatan rasa dengan ibu bapanya.

Sejak kecil, kepercayaa­n diri mereka terbangun dan kedekatan emosi terjalin erat. Ia cerminan perilaku mereka pada usia remaja. Anak remaja hanya akan meluahkan isi hatinya kepada insan yang dirasakan akrab dengannya.

Masalah dan persoalan hidup mereka tidak akan dikongsi dengan seseorang yang mereka tidak percayai walaupun orang itu adalah ibu bapa sendiri.

Mereka memerlukan seseorang yang mampu menjaga harga diri dan tidak mudah mencanang perihal mereka di mana-mana. Ibu bapa mungkin berasa sekadar meluahkan rasa kepada saudara-mara perihal kenakalan anak mereka.

Tetapi bagi anak remaja, ia sangat mencalar rasa dan menghakis rasa percaya. Di mata ibu bapa, anak mungkin masih lagi menunjukka­n hormatnya, namun belum tentu mereka percayakan ibu bapa.

Oleh itu, kita perlu berubah. Positif dan bersahabat­lah dengan anak. Biar kita saling mendekat, cipta kebersamaa­n dan ukir kenangan.

Tautan hati dan ikatan emosi akan mengubah cuaca dalam keluarga kita. Biarkan anak merasai perhatian dan cinta mereka saat meluangkan masa melakukan aktiviti bersama.

Apa yang perlu kita lakukan saat bersama anak?

1. Menangi hati mereka. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam memenangi hati insan lain. Dengan kanak-kanak baginda bergurau, sabar, menyayangi, mencium, bercerita dan bermain.

2. Berkata benar dan penuh hikmah supaya ibu bapa dipercayai dan dihormati. Elakkan kata menyinggun­g dan menjatuhka­n jati diri.

3. Jelaskan hakikat kehidupan dan bangunkan rasa yakin diri dan ideologi yang jelas. Jelmakan ingatan terhadap Allah dan Rasulullah SAW dalam setiap perbualan supaya anak nampak arah hidup dan bagaimana menjalani kehidupan.

4. Hadirkan agama sebagai sebuah aturan hidup yang menyentuh semua aspek kehidupan. Bukan sekadar saat solat dan berpuasa Ramadan saja.

Penulis ialah pendakwah dan penulis buku

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia