Harian Metro

LAGAK SAMSENG

- Mohd Azam Shah Yaacob cnews@nstp.com.my

Lagak penuh samseng apabila seorang lelaki menghunus pedang samurai sebelum menyerang orang awam di lokasi terbuka.

Itu tindakan suspek bersama rakannya yang menyerang penyelia trafik Projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) selepas tidak berpuas hati diarah mengalihka­n kenderaan.

Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, suspek berusia 23 tahun hingga 35 tahun menyerang mangsa di Jalan Alam Damai, Cheras di sini.

Malah, video kejadian suspek melibas belakang mangsa menggunaka­n pedang samurai turut tular di laman sosial sejak kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan jam 4.39 petang, semalam.

Katanya, hasil maklumat itu, polis menahan dua suspek terbabit serta merampas pedang samurai yang digunakan untuk mencederak­an mangsa.

“Kejadian itu berpunca apabila mangsa mengarahka­n seorang lelaki mengalihka­n kenderaan yang diletakkan di laluan keluar masuk tapak projek lebuh raya itu.

“Bagaimanap­un, suspek tidak berpuas hati dengan teguran itu dan bertengkar dengan penyelia terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, suspek menghubung­i rakannya yang tiba beberapa minit kemudian sebelum menumbuk mangsa.

Katanya, suspek mengeluark­an pedang samurai sebelum menetak belakang mangsa sehingga cedera.

“Kedua-dua suspek beredar dari tempat kejadian manakala mangsa yang cedera di muka serta belakang badan mendapatka­n rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Kami menahan dua lelaki yang melakukan serangan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 160 kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Orang ramai yang ada sebarang maklumat diminta menghubung­i pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Shahriman Othman di talian 017-6528746 atau menghubung­i Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Cheras, Deputi Superinten­dan Zolkifli Mohd yasin di talian 019-2580008.

Lelaki berang diarah alih kereta tetak penyelia lebuh raya

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia