Harian Metro

KEMBAR SEIRAS SUKAR BERPISAH

- Zaitie Satibi zaisa@hmetro.com.my

Lepas belajar di sekolah dan universiti yang sama,

dua beradik pilih kerjaya sama di tempat yang sama

Dalam kalangan peminat novel cinta, nama penulis Ania Malna dan Tini Hardanisya­h pasti tidak asing bagi mereka.

Ania Malna bijak membuai imaginasi pembaca menerusi naskhah Cintaku Tertinggal di Korea dan Beijing, Aku Cinta Dia!, manakala Tini Hardanisya­h dengan karyanya Awak Ilham Saya, Kamu Sang Penculik dan Bunga Hati Mr Jung membuatkan novel ini kelihatan sangat dekat dengan pembaca.

Namun, di sebalik nama pena itu pasti ramai peminat novel tidak sangka kedua-dua penulis yang membawa genre percintaan adalah dua beradik kembar seiras.

Nurul Aini Abdul Ghani atau Ania Malna dan Nurul Aisyah atau Tini Hardanisya­h, dilahirkan berselang dua jam 29 tahun lalu, tidak saja mempunyai minat sama dalam penulisan kreatif, malah kedua-duanya mempunyai pekerjaan sama di tempat yang sama.

Demikian keunikan kembar itu yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah kolej di Temerloh, Pahang. mereka juga melanjutka­n pengajian di institusi pengajian tinggi sama sebelum bekerja.

Nurul Aini berkata, mereka rapat sejak kecil mungkin mendorong kedua-duanya memilih bidang sama, baik di alam pekerjaan sebagai pensyarah mahupun sebagai penulis novel.

“Ramai berkata kami beruntung kerana dapat peluang pekerjaan sama di tempat sama. Namun, ia adalah rezeki kerana kami membuat permohonan kerja melalui prosedur biasa, sama dengan orang lain.

“Pada peringkat awal bekerja, kami terpisah selama dua tahun apabila saya ditempatka­n di kolej di Dungun, Terengganu manakala Aisyah di kolej sekarang. Bagaimanap­un, saya dapat bertugas di kolej sama selepas melakukan pertukaran kakitangan suka sama suka,” katanya.

Jelasnya, sebelum itu mereka belajar di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan dalam jurusan Diploma Kejurutera­an Awam sebelum menyambung ijazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor dalam jurusan Sains Pengurusan Pembinaan.

“Dalam dunia penulisan pula, kami gemar menulis sejak sekolah rendah. Kami tulis mengenai apa saja terutama pengalaman dalam kehidupan seharian. Disebabkan ketika itu tiada kemudahan komputer riba, kami menulis dalam buku log.

“Kami mengasah kemahiran penulisan kreatif di sekolah menengah apabila belajar membuat esei. Saya mulakan dulu langkah dalam penulisan novel dan menerbitka­n karya pertama, Cintaku Tertinggal di Korea, pada 2013 sebelum Aisyah menyusul dua tahun kemudian dengan novel pertamanya, Awak Ilham Saya,” katanya.

Nurul Aini berkata, mereka juga gemar melancong dan negara yang paling kerap dikunjungi adalah Korea Selatan berikutan mereka juga meminati budaya KPop.

“Biarpun kerap pergi ke negara sama, kami mengunjung­i lokasi berlainan. Kami juga lebih gemar mengunjung­i lokasi bukan tumpuan pelancong kerana mahukan kelainan. Tidak kesah walaupun tempat yang dituju sangat jauh dari bandar utama kerana kami juga sukakan pengembara­an yang mencabar.

“Kami pernah pergi ke lokasi penggambar­an drama popular Korea, Goblin, di lembah Gunung Odaesan dan Garden of Morning

Calm yang juga taman bunga cantik dan sering dijadikan lokasi penggambar­an drama,” katanya.

Ditanya mengenai bakat penulisan mereka, Nurul Aini berkata, ia adalah anugerah kerana tiada dalam sejarah keluarga suka menulis. Bagaimanap­un, abangnya, Harun, 49, dan kakak, Zuraida, 43, gemar melukis.

“Abang dan kakak suka melukis dan menghasilk­an banyak karya seni tetapi tidak pernah dikomersia­lkan kerana hanya untuk tatapan sendiri.

“Walaupun mereka tidak lagi aktif melukis, bila ada masa mereka melukis pada dinding bangunan.

“Apapun, kami bersyukur kerana bapa, Abdul Ghani Yaakub, 72, dan ibu, Siti Rohani Ismail, 66, tidak pernah menyekat minat kami. Sebaliknya, mereka memberi kelonggara­n dalam apa saja yang kami buat asalkan mereka dimaklumka­n terlebih dulu,” katanya.

 ??  ?? PASANGAN kembar bersama ibu bapa mereka pada
pameran buku yang mengetenga­hkan novel.
PASANGAN kembar bersama ibu bapa mereka pada pameran buku yang mengetenga­hkan novel.
 ??  ?? BERMAIN salji ketika bercuti di negara asing.
BERMAIN salji ketika bercuti di negara asing.
 ??  ?? GEMAR melancong ke destinasi
cantik di Korea Selatan.
GEMAR melancong ke destinasi cantik di Korea Selatan.
 ??  ?? NURUL AINI (kiri) dan Nurul Aisyah berkongsi minat yang sama.
NURUL AINI (kiri) dan Nurul Aisyah berkongsi minat yang sama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia