Harian Metro

Waspada taktik along guna nombor telefon orang lain

-

Kuala Lumpur: Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, along atau ceti haram kini cenderung menggunaka­n nombor telefon yang didaftarka­n atas nama individu lain.

Taktik itu digunakan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang kerana pihak berkuasa akan mencari pemilik berdaftar nombor telefon berkenaan jika timbul masalah membabitka­n unsur jenayah.

Pengarah Unit Banteras Ceti Haram, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Azman Kang berkata, taktik itu dikesan digunakan along hasil aduan terbaru diterima pihaknya.

Dia berkata, penelitian dilakukan pihaknya mendapati ada along menggunaka­n lapan nombor berbeza yang didaftarka­n atas nama orang lain.

“Kes ini membabitka­n mangsa diburu along yang menuntut dia membuat bayaran penuh pinjaman dalam tempoh 24 jam.

“Mangsa mendakwa dihubungi lebih dua along. Selepas melakukan semakan, kami mendapati mangsa sebenarnya dihubungi individu sama yang menggunaka­n nombor telefon berbeza.

“Nombor digunakan didaftarka­n atas nama orang lain. Sebenarnya ini taktik menakut-nakutkan dan mengugut peminjam,” katanya.

Azman berkata, sebelum ini, pihaknya berurusan dengan rangkaian along yang menggunaka­n pelbagai nombor, tetapi kebanyakan­nya didaftarka­n di atas nama syarikat.

Katanya, sejak dua tahun lalu, PPIM mengenal pasti lebih 500 nombor telefon yang mempunyai kaitan dengan along dan kebanyakan­nya digunakan orang sama setiap hari.

Menurutnya, PPIM menerima aduan daripada individu diganggu along meskipun tidak membuat pinjaman daripada mana-mana pihak.

“Kita tidak tahu secara teknikalny­a bagaimana along memperoleh nombor telefon berkenaan. Mungkin ia diperoleh daripada sindiket atau cara lain atau mungkin juga nombor itu digunakan orang lain sebelum ini,” katanya.

Berikutan itu, pihaknya menggesa orang ramai melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya keadaan terbabit berlaku kerana ia mempunyai risiko seperti pembabitan dalam kes jenayah atau sebagainya.

“Mangsa yang terima ugutan daripada nombor tidak dikenali atau nama mereka digunakan untuk pendaftara­n talian telefon disarankan supaya segera membuat laporan polis,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia