Harian Metro

SALAH MASUK, SILAP TEMBAK

- Agensi

„ Polis wanita hadapi tuduhan membunuh selepas

tembak jiran akibat tersalah masuk rumah

Seorang pegawai polis wanita kini menghadapi tuduhan membunuh apabila dia menembak mati jirannya selepas dia tersilap memasuki rumah mangsa yang disangka rumahnya.

Menurut laporan media tempatan, dalam kejadian kira-kira 10 malam Jumaat lalu, pegawai polis wanita berkulit putih itu baru pulang dari tempat kerja apabila dia tersilap memasuki rumah jirannya, Botham Shem Jean, 26, yang berkulit hitam di sebuah kompleks apartmen di Dallas, Texas.

Menurut polis, lelaki itu, seorang akauntan, bersemuka dengan polis terbabit sebelum wanita berkenaan mengeluark­an pistol dan menembak mangsa, mungkin menyangka lelaki berkenaan menceroboh rumahnya.

Daily Mail melaporkan, wanita itu kemudian menghubung­i polis mengenai kejadian itu dan terkejut apabila anggota yang tiba di tempat kejadian memberitah­unya dia sebenarnya tersilap rumah.

Mangsa yang bekerja dengan syarikat Pricewater­houseCoope­rs sempat diberi rawatan di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke hospital, namun disahkan mati selepas itu.

Pada sidang media semalam, Ketua Polis Renee Hall berkata, pihaknya mengambil sampel darah pegawai polis terbabit untuk memeriksa tahap kandungan dadah dan alkohol.

Dia mengesahka­n wanita itu adalah polis berkulit putih, namun tidak memberitah­u sama ada penyiasat mempercaya­i kejadian tembakan itu ada kaitan dengan isu perkauman.

Pihak berkuasa tidak tahu bagaimana wanita itu masuk ke rumah mangsa dan sama ada pintu rumah berkenaan berkunci atau terbuka.

Menurut Renee, pihaknya masih belum jelas sama ada berlaku sebarang interaksi antara kedua-dua mereka atau tidak sebelum tembakan dilepaskan.

“Buat masa sekarang, lebih banyak persoalan berbanding jawapan,” katanya.

Sementara itu, penduduk kompleks apartmen itu memberitah­u mereka boleh masuk ke sama ada menggunaka­n kunci atau menekan kod pada pad kekunci.

Dua wanita yang tinggal di tingkat dua mendakwa terdengar bunyi tembakan itu.

“Ia seperti percakapan seorang polis: “Buka! Buka!” kata Caitlin Simpson kepada The Dallas Morning News.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia