Harian Metro

‘Bersatu’ dalam liang lahad

- Ahmad Ismail cnews@nstp.com.my

„ Empat beranak maut dalam kemalangan selamat dikebumi

“Kami dan besan akan sama-sama membesarka­n cucu dan mudah-mudahan (Mohd Naqib Nizam) segera sembuh,” kata Jamilah Yahya, 76.

Jamilah, ibu kepada Nur Faizlin Jamaludin yang maut bersama suami dan dua anaknya dalam kemalangan, kelmarin berkata, dia dan besannya, Mun Ahmad, 73, akan sama-sama memastikan pembelajar­an dan kebajikan Mohd Naqib yang berusia sembilan tahun terjamin pada masa hadapan.

“Pada masa sama, kami akan mencari pendekatan terbaik berkongsi kasih sayang buatnya supaya dirinya tidak berasa kesunyian kerana kehilangan ibu bapa dan adiknya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Mukminin di Kampung Alai di sini, semalam.

Dalam kemalangan di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru ke Seremban jam 1.30 tengah hari itu, Nur Faizlin dan suaminya, Nizam Daud, 51, serta dua anak pasangan itu, Nur Naqia, 6, dan Mohd Niaz, 2, maut di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh treler.

Mohd Naqib pula parah dan kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.

Jamilah berkata, dia reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi serta mendoakan kesihatan cucunya kembali pulih seperti sebelumnya.

Dia akan berbincang bersama besannya itu untuk mencari pendekatan terbaik memberitah­u mengenai kejadian itu kepada cucunya nanti.

Sementara itu, suami Jamilah, Jamaludin Jelani, 73, berkata, cucunya kini dalam keadaan stabil selepas pakar perubatan di HDS berjaya menghentik­an pendarahan dan kecederaan luka di bahagian hatinya dan kini dalam pemantauan rapi untuk tindakan selanjutny­a.

Menurutnya, kedua-dua tangan cucunya turut patah kerana kemalangan itu dan dia dimaklumka­n cucunya itu sedang diberikan pemantauan rapi dengan pelbagai peralatan perubatan.

Katanya, hanya keluarga terdekat serta waris yang dibenarkan untuk melawatnya.

 ?? Jamilah Yahya ?? Saya reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi dan mendoakan kesihatan cucu”
Jamilah Yahya Saya reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi dan mendoakan kesihatan cucu”
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia