Harian Metro

Rumput tiruan uji kesabaran pemain

-

Phnom Penh: Banyak faktor yang perlu diperhatik­an pemain negara apabila turun menentang Kemboja di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh, hari ini.

Selain faktor rumput tiruan yang menyaksika­n pergerakan bola menjadi lebih pantas, ketulan getah hitam yang dijadikan alas rumput berkenaan juga bakal ‘menyusahka­n’ pemain.

Penyerang Harimau Malaya, Akhyar Rashid (gambar) berkata, jika ketulan getah berkenaan termasuk ke dalam kasut, ia sedikit sebanyak mengganggu keselesaan pemain ketika beraksi.

“Menentang Kemboja nanti kami akan bermain di padang rumput tiruan, memang berbeza. Padangnya licin, lantunan bola agak kuat. Selain itu, getah kecil hitam yang banyak di dalam padang mudah masuk ke dalam kasut dan membuatkan rasa tak selesa.

“Apapun, kita harap aksi lebih baik selepas Taiwan. Kita akan cuba buktikan bahawa kita boleh memberi tekanan kepada pasukan lawan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Harimau Malaya perlu bangkit memperkema­skan lagi permainan andai tidak mahu dipalit aib oleh Kemboja. Selain maruah yang menjadi taruhan, keputusan negatif kepada skuad Angkor Warriors itu mungkin menyebabka­n ranking Malaysia di tangga 171 dunia terus merosot selepas turut tewas di tangan Taiwan 0-2 di Taipei City dalam satu lagi aksi persahabat­an kelas A, Jumaat lalu.

Meskipun Kemboja yang kini dikendalik­an bekas bintang Jepun Keisuke Honda berada di ranking lebih tinggi (166) berbanding Malaysia, namun reputasi mereka tidak gah seperti Harimau Malaya di rantau Asia Tenggara ini.

Sepanjang 14 pertemuan, Harimau Malaya merekodkan 11 kemenangan ke atas Kemboja dengan kali terakhir pada Piala AFF 2016 menerusi kemenangan 3-2.

Bagaimanap­un, bukan tugas mudah bagi anak buah Cheng Hoe untuk sekali lagi melakar kemenangan ke atas Kemboja apatah lagi masing-masing menyiapkan diri menghadapi Piala AFF, November depan.

Akhyar hanya masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua menentang Taiwan, tetapi pantas memberi impak apabila hampir menjaringk­an gol, namun percubaann­ya terkena tiang.

“Saya berharap dapat beraksi dalam kesebelasa­n utama dan akan gunakan peluang sebaik mungkin,” kata pemain Kedah itu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia