Harian Metro

MANGSA API TENDANG BOMBA

Lelaki bikin kecoh tendang, belasah anggota bomba bertugas

- Hazsyah Abdul Rahman cnews@nstp.com.my

Ketika sibuk memadamkan api, seorang anggota bomba tiba-tiba ditendang sebelum dipukul lelaki tidak berbaju dalam kejadian di Kampung Gelam di sini, jam 2 pagi semalam.

Bagaimanap­un, mangsa yang berusia 30 tahun hanya cedera ringan dan meneruskan tugasan selepas lelaki terbabit ditahan.

Ketika kejadian, anggota bomba berkenaan sedang memadam kebakaran menggunaka­n paip bomba sebelum lelaki terbabit tiba-tiba menendang dan memukul mangsa sehingga menimbulka­n kekecohan.

Orang ramai kemudian meleraikan kejadian sebelum anggota bomba berkenaan dengan tenang menyambung tugas.

Difahamkan, lelaki terbabit yang tidak memahami tugas anggota bomba dipercayai tidak berpuas hati apabila api yang membakar rumahnya lambat dipadamkan.

Wartawan Harian Metro yang berada di lokasi turut merakam kejadian.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin ketika dihubungi mengesahka­n menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

“Suspek ditangkap dan kini direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana mengganggu penjawat awam menjalanka­n tugas,” katanya.

Terdahulu, 35 rumah papan di kampung berkenaan musnah dalam kebakaran jam 1.40 pagi semalam.

Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 1.42 pagi sebelum 17 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikejarkan ke lokasi.

“Kami tiba jam 1.50 pagi dengan empat jentera dan dua kenderaan utiliti. Operasi memadam kebakaran kemudianny­a dijalankan dan api dapat dikawal jam 2.50 pagi sebelum operasi berakhir jam 4.32 pagi.

Anddre berkata, pihaknya menyelamat­kan sebuah bengkel membaiki kapal dan puluhan rumah berdekatan daripada turut dijilat api.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? SEJUMLAH 35 rumah papan di Kampung Gelam musnah dalam kebakaran, semalam.
SEJUMLAH 35 rumah papan di Kampung Gelam musnah dalam kebakaran, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia