Harian Metro

RINDU ISTERI PERGI DALAM PANTANG

„ Luahan hati tukang masak kehilangan isteri ketika 11 hari berpantang jadi tular

- Suraya Roslan cnews@nstp.com.my

“Sewaktu dalam pantang, muka arwah berseri-seri macam pakai ‘mekap’ (disolek) sedangkan sepanjang kami berkahwin perangainy­a tidak suka berhias atau bersolek.

“Malah arwah sempat mengirimka­n WhatsApp kepada kakak ipar mengatakan kemungkina­n tidak sempat menghabisk­an 44 hari tempoh pantang,” kata Hamijan Jalaludin, 22, suami kepada Siti Nurhidayah Mohd Saad, 23, meninggal dunia selepas 11 hari berpantang.

Arwah Siti Nurhidayah, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan tangan kebiruan oleh Hamijan di rumah mentuanya di Bandar Behrang 2020, Behrang, Perak pada jam 11 pagi Sabtu lalu, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Luahan hati Hamijan di Facebook (FB) kepada arwah isterinya itu menjadi tular apabila statusnya mengungkap rasa kasih kepada arwah isterinya dikongsi netizen yang bersimpati.

Hamijan yang bekerja sebagai tukang masak di restoran milik bapanya di Bandar Behrang 2020, berkata, dia reda dengan kehilangan isteri tercinta.

Sebagai bapa dia akan menggalas tanggungja­wab menjaga satu-satunya zuriat mereka Muhammad Hud Hayyan, berusia 16 hari yang dilahirkan arwah Siti Nurhidayah di Hospital Slim River, pada jam lebih 5 petang, 28 Ogos lalu,

“Pemergian isteri mengejutka­n kami semua kerana berlaku tiba-tiba. Beberapa jam sebelum kejadian kira-kira jam 5.30 pagi saya yang menunggu masuk waktu Subuh luangkan masa bersama arwah dan bersembang dengannya.

“Ketika itu arwah minta saya bawa dia ke Cameron Highlands, Pahang, selepas habis pantang. Selesai bersolat saya berbaring di sebelah isteri hingga tertidur dan terjaga semula pada jam 11 pagi.

“Saya terjaga pun selepas dikejutkan dengan tangisan bayi kami. Kemudian saya buat susu untuk Muhammad Hud Hayyan kerana menyangka arwah tidur,” katanya.

Menurutnya, dia mula mengesyaki ada yang tidak kena selepas arwah tidak menyahut panggilann­ya.

Pemergian isteri mengejutka­n kami semua kerana berlaku tiba-tiba”

Hamijan Jalaludin

“Saya kemudian menarik selimut dan mendapati tangan arwah sudah kebiruan, saya cemas apabila dia langsung tidak memberikan tindak balas.

“Lalu saya hubungi ambulans dan bawa dia ke Hospital Slim River. Ketika sampai di hospital doktor sahkan arwah meninggal dunia,” katanya.

Katanya jenazah Nurhidayah dikebumika­n di Tanah Perkuburan Ulu Bernam, Kampung Pinang, hari yang sama selepas selesai proses bedah siasat.

Dia memberitah­u, hasil bedah siasat mendapati Siti Nurhidayah meninggal dunia akibat darah beku di peranakan selain jantung arwah bengkak.

“Setiap kali melihat wajah anak perasaan rindu kepada arwah bertandang. Wajah Muhammad Hud Hayyan saling tidak tumpah macam arwah ibunya.

“Saya akan menjaga anak sebaiknya seperti amanat arwah kepada saya. Pada malam sebelum kejadian arwah juga hantar SMS kepada ibunya.

“Dalam kiriman itu arwah memohon kemaafan jika melakukan kesalahan dan mengucapka­n kata sayang kepada ibunya,” katanya.

Antara luahan kata Hamijan yang tular di FB adalah terima kasih atas segala pengorbana­n arwah dan akan sentiasa mendoakan arwah isterinya serta menjaga zuriat mereka sebaiknya.

 ??  ??
 ??  ?? HAMIJAN bersama arwah isteri, Siti Nurhidayah yang meninggal dunia ketika dalam tempoh berpantang 11 hari.
HAMIJAN bersama arwah isteri, Siti Nurhidayah yang meninggal dunia ketika dalam tempoh berpantang 11 hari.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia