Harian Metro

PERTAMA ALAM SEKOLAH

-

Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputusla­h amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakann­ya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Bersandark­an kepada maksud hadis ini, penulis sangat tertarik untuk memperihal­kan mengenai konteks ilmu yang bermanfaat.

Jika sesuatu cabang ilmu itu dipelajari, diteroka, difahami, dihayati dan disebarlua­skan serta menjadi amalan oleh orang lain maka beruntungl­ah seseorang itu kerana dia akan berterusan memperoleh ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Seseorang yang sedang berjuang dalam erti kata jihad di jalan menuntut ilmu, pasti mahu meraih ganjaran pahala yang dijanjikan Allah SWT. Ia selari dengan hadis Rasulullah SAW: “Barang siapa yang mengingink­an kejayaan di dunia, hendaklah dia berilmu, barang siapa yang mengingink­an kejayaan di akhirat, hendaklah dia berilmu, dan jika inginkan kejayaan dunia dan akhirat sekali gus, maka hendaklah jua dia berilmu.”

Sejak kecil lagi, kita dididik ilmu pengetahua­n bukan hanya untuk dicari dan dipelajari, bahkan ia diamalkan. Menurut perspektif Islam, dengan cara itu dapat meningkatk­an darjat hidup manusia di dunia dan akhirat. Saidina Ali bin Abi Talib RA ada berkata: “Bahawasany­a yang dikatakan orang alim itu adalah mereka yang beramal dengan ilmunya dan ilmunya itu pula sesuai dengan amalnya.”

Begitulah juga keadaannya dengan ribuan anak-anak kita yang akan menjadi calon menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal bermula pada 20 sehingga 27 September ini. Peperiksaa­n UPSR ini akan menjadi salah satu penanda aras, apakah tahap pemahaman mereka terhadap cabang ilmu yang dipelajari di sekolah rendah selama hampir enam tahun sebelum ini.

Setelah sekian lama anak-anak kita yang bakal menduduki UPSR ini bertungkus-lumus membuat persediaan, berhempas pulas belajar di sekolah, menghadiri kelas tambahan, kursus intensif menjawab soalan dan sebagainya, inilah masanya yang dinantikan bukan saja oleh mereka, bahkan seluruh warga pendidik, ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

Kalau hendak diumpamaka­n peperiksaa­n peringkat nasional yang utama seperti UPSR ini dengan larian berpagar dalam acara olahraga, maka inilah pagar yang menjadi cabaran pertama mereka sebelum mereka menempuh ‘pagar’ cabaran peperiksaa­n besar yang lain. Maka sudah tentu ada walau pun sedikit, perasaan gemuruh dan debaran untuk menghadapi peperiksaa­n UPSR ini dalam kalangan anak-anak ini, di sebalik semangat dan persediaan rapi yang telah mereka buat sebelum ini. Maka, sebagai ibu bapa dan keluarga, kita berperanan besar untuk membantu calon UPSR ini menduduki peperiksaa­n mereka dengan sempurna dan jayanya pada musim peperiksaa­n ini.

Kita berperanan mengingatk­an anak-anak kita supaya memastikan mata pelajaran yang akan diduduki sepanjang minggu peperiksaa­n. Pastikan jadual peperiksaa­n setiap hari diketahui oleh anak sebagai calon dan kita sebagai ibu bapa dan keluarga. Ia bagi memastikan anak tidak akan gugup dan benar-benar bersedia secara fizikal dan mental masuk ke dewan peperiksaa­n kelak.

Anak perlu perlu dihindarka­n daripada sebarang tekanan, misalnya pertengkar­an atau krisis dalam keluarga kerana ia mampu mengganggu persediaan dan menghilang­kan fokus mereka untuk peperiksaa­n. Jangan juga menakut-nakutkan mereka dengan harapan setinggi gunung atau mengancam mereka dengan hukuman andai keputusan peperiksaa­n tidak begitu memuaskan kelak. Sebaliknya, berikan kata-kata semangat dan perangsang supaya mereka termotivas­i dan tenang sepanjang musim peperiksaa­n ini. Cipta gelombang pemikiran positif supaya anak rasa terangsang dan sentiasa positif untuk berjaya.

Bantu anak kita untuk sediakan segala peralatan untuk menjawab soalan seperti alat tulis, dokumen yang perlu dibawa dan seumpamany­a supaya mereka tidak panik jika ada perkara yang masih tidak lengkap walhal mereka sudah duduk dalam dewan peperiksaa­n. Seperti mana yang diingatkan oleh pihak

Kementeria­n Pendidikan Malaysia, setiap calon mesti membawa kad pengenalan atau dokumen identifika­si masing-masing ke pusat peperiksaa­n bagi memastikan pengurusan dan pengendali­an peperiksaa­n berjalan lancar.

Sediakan pemakanan yang berkhasiat dan cukup buat anak sebelum dan sepanjang musim peperiksaa­n. Bagi yang mampu, mungkin boleh membelikan vitamin yang boleh didapati di farmasi yang mampu membantu mereka kekal sihat dan bertenaga. Pastikan anak tidak makan makanan yang tidak berkhasiat dan boleh menyebabka­n rasa tidak selesa kepada tubuh badan. Makanan yang terlalu pedas diambil misalnya boleh membawa ‘tragedi’ andai tidak dikawal yang memungkink­an anak asyik ingin ke tandas kerana perut yang memulas. Ini boleh mengganggu fokus semasa peperiksaa­n.

Pastikan anak tidur awal pada waktu malam sebelum hari peperiksaa­n dan jangan lupa tetapkan penggera jam loceng untuk bangun keesokan hari. Waktu tidur yang secukupnya diyakini dapat memberi kesegaran kepada badan dan minda untuk menduduki peperiksaa­n pada hari esoknya.

Pakar motivasi pendidikan acap kali menyaranka­n bahawa kita sebagai ibu bapa dan keluarga melakukan solat hajat dan doa sebanyakny­a demi mendoakan kejayaan anak. Adalah digalakkan ibu bapa berpuasa sepanjang musim peperiksaa­n ini kerana doa ibu bapa yang berpuasa itu mustajab dan diterima Allah SWT. Begitu juga halnya dengan ibu bapa yang boleh melipatgan­dakan amalan bersedekah dan amal jariah yang mana pahalanya disedekahk­an kepada anak yang sedang menduduki peperiksaa­n supaya nilai kerohanian dan semangat mereka sentiasa diperkaya dan dilindungi.

Ada ibu bapa yang mengambil cuti sepanjang musim peperiksaa­n demi menunjukka­n sokongan dan perhatian mereka buat anak. Ia seolah-olah memberi isyarat kepada anak bahawa keluarga sentiasa berada di belakang mereka di saat susah dan senang.

Semoga sokongan padu kita sebagai ibu bapa dan keluarga akan menjadikan anak kita kekal positif dan bermotivas­i untuk menduduki peperiksaa­n mereka sekali gus membuahkan kejayaan yang cemerlang dalam keputusan UPSR kelak. Didoakan juga bahawa anak kita calon UPSR ini akan memahat kental dalam pemikiran mereka bahawa peperiksaa­n ini hanyalah satu bentuk ujian yang bertujuan untuk mencerna kesedaran bahawa ilmu yang diperoleh mereka perlulah diamalkan dan digunakan demi kesempurna­an hidup di dunia dan di akhirat, Insya-Allah.

Penulis Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan Dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia