Harian Metro

SIAPA LAYAK?

- Zulfaizan Mansor zulfaizan@nstp.com.my

Persoalan mengenai dua wakil Kumpulan C yang akan ke suku akhir Piala Malaysia bakal terjawab apabila saingan peringkat kumpulan kembali bersambung malam ini.

Ketika enam pasukan daripada Kumpulan A, B dan D sudah pun diketahui, kini peminat bola sepak tanah air tidak sabar untuk melihat sama ada MIFA, Kedah, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan mampu meloloskan diri ke kelompok lapan terbaik, musim ini.

Keempat-empat pasukan berkenaan masih mempunyai peluang untuk melangkah ke suku akhir dengan MIFA dan Kedah tampak memiliki sedikit kelebihan kerana hanya memerlukan keputusan seri apabila berdepan lawan masing-masing, JDT dan Kelantan.

Tekanan dilihat lebih terarah kepada juara bertahan, JDT dan Kelantan yang hanya ada ‘satu jalan’ buat mereka iaitu wajib menewaskan lawan masing-masing.

Persembaha­n tidak konsisten JDT dan ditambah pula dengan rekod baik MIFA yang hanya tewas sekali sepanjang saingan menimbulka­n persoalan mampukah skuad Harimau Selatan menyelamat­kan reputasi mereka selaku juara bertahan dan juara lima kali berturut-turut Liga Super.

JDT bakal bertandang ke gelanggang lawan dengan Stadium Shah Alam bakal menjadi saksi sama ada mereka akan mara atau MIFA mencipta sejarah melangkah ke suku akhir buat kali pertama.

Kemampuan Kelantan yang jelas bergelut sepanjang musim ini turut menjadi tanda tanya adakah mereka boleh menyekat kebangkita­n Kedah di bawah kendalian Azzmi Aziz dengan The Red Warriors (TRW) memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya dua gol tanpa balas.

Namun, pada masa yang sama anak buah Yusri Che Lah juga perlu mengharapk­an pertemuan MIFA dan JDT berkesudah­an seri atau skuad Harimau Selatan tewas untuk memastikan slot ke suku akhir sah menjadi milik mereka.

Bagi bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, beliau melihat JDT sebagai pilihan sambil menyifatka­n Kelantan dan Kedah memiliki peluang seimbang.

“Tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku, sedangkan MIFA boleh tewaskan JDT di gelanggang lawan dan tak mustahil JDT juga boleh tundukkan mereka di sini (Shah Alam).

“Saya fikir strategi antara dua jurulatih (Benjamin Mora dan K Devan) paling penting. Antara Kelantan dan Kedah pula sukar diramalkan.

“Kedua-duanya tidak menunjukka­n prestasi konsisten. Cuma saya boleh katakan satu pertemuan antara pasukan dibarisi pemain berpengala­man (Kedah) dan pemain muda (Kelantan), pada saya peluang mereka 50-50,” katanya.

Bagi pasukan yang layak termasuk Terengganu dan Perak dari Kumpulan A, FELDA United dan PKNS (Kumpulan B), perlawanan esok menjadi penentu siapa yang akan muncul juara kumpulan dengan juara dan naib juara Kumpulan D sudah sah milik Sabah dan Pahang.

„ Dua wakil Kumpulan C ke suku akhir Piala Malaysia

ditentukan malam ini

 ??  ?? PENYERANG Kelantan, Cristiano Santos (dua dari kanan) diasak pemain MIFA dalam aksi Kumpulan C lalu.
PENYERANG Kelantan, Cristiano Santos (dua dari kanan) diasak pemain MIFA dalam aksi Kumpulan C lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia