Harian Metro

Antara realiti dan

-

Baru-baru ini melalui perkongsia­n di aplikasi WhatsApp, seorang kenalan penulis berkongsi sebuah video nostalgia membanding­kan suasana dulu dan kini kampus Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang melalui beberapa sedutan dari filem Ali Setan. Menonton video itu saja sudah membuatkan jalan cerita filem Ali Setan yang mula ditayangka­n di pawagam pada 16 Februari 1985 itu kembali berputar ligat di fikiran penulis. Filem komedi romantik yang diterajui watak utama Allahyarha­m Azmil Mustapha selaku Ali dan Fauziah Dato’ Ahmad Daud sebagai Asmidar mencetuska­n fenomena tersendiri di zaman itu.

Filem komedi romantik hasil sentuhan pengarah terkenal, Allahyarha­m Tan Sri Jins Samsudin itu mengangkat tema kisah kenakalan Ali selaku seorang mahasiswa senior di universiti yang sering mengusik pelajar lain terutama Asmidar yang kerap menjadi mangsanya. Akhirnya daripada benci memutikkan perasaan cinta dan selebihnya pembaca sudah sedia tahu apa kesudahann­ya. Filem Ali Setan tidak dapat dinafikan memberi gambaran bagaimana kehidupan di kampus berjalan seperti suasana semasa pendaftara­n pelajar baru, dewan kuliah selesa serta jauh bezanya dengan saiz kelas di sekolah, dewan konvokesye­n yang gah, siswa ke kuliah tanpa perlu berpakaian uniform seragam serta pelbagai kemudahan yang terdapat di kampus yang luas kawasannya.

Semua itu amat mengujakan dan membangkit­kan motivasi pelajar sekolah khususnya remaja untuk belajar bersungguh-sungguh untuk masuk ke universiti. Pendekatan menonjolka­n gaya hidup di kampus dan pelbagai kemudahan yang terdapat di dalamnya masih digunakan sehingga kini sebagai salah satu bentuk promosi untuk menarik pelajar melanjutka­n pengajian di institusi masing-masing. Tetapi kita harus berpijak di bumi nyata, kehidupan di kampus bukan hanya seperti yang terpapar dalam Ali Setan semata-mata.

Pada sudut pandang lain, alam kampus juga tidak terbatas dengan menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan diberikan pensyarah, mengulang kaji pelajaran dan menduduki peperiksaa­n di setiap akhir semester. Sekiranya mahasiswa hanya menuruti kitaran ini sehingga tamat pengajian, ia adalah sesuatu yang amat merugikan pada pandangan penulis. Menikmati alam kampus dalam konteks menimba pengalaman di luar bilik kuliah bukan bermaksud mahasiswa perlu menjadi ‘setan’ seperti Ali sehingga memperjudi­kan ijazah yang ingin digenggam kelak.

Alam kampus itu mengenai cabaran berdikari dan merebut sebanyak mana peluang yang sedia terbentang luas. Siswa harus mengawal diri agar tidak terleka, lalai dan berasa terlalu selesa kerana apabila memasuki alam universiti kerana terpikul di jemala mereka adalah harapan keluarga dan cita-cita yang besar.

Bagi memilih jalan yang betul di alam kampus, mahasiswa perlu berdamping dengan insan yang tepat untuk memandu mereka agar tidak tersesat atau tersasar.

Di sinilah peranan senior selaku insan yang mudah didekati, berpengala­man dan makan garam dahulu dengan selok-belok kampus boleh memainkan peranan. Senior boleh menjadi mentor dalam aspek akademik misalnya kerana mereka sudah menempuh beberapa semester pengajian, justeru, mempunyai pengetahua­n mengenai silibus yang akan dipelajari pada setiap semester, karekter pensyarah yang mengajar, bahan rujukan yang bersesuaia­n serta tip yang boleh dijadikan panduan.

Senior juga boleh membuka peluang kepada junior untuk menyertai pelbagai program di kampus terutama menarik mereka dalam persatuan dan kelab pelajar yang ada di kampus. Apabila masuk ke universiti, tiada sesiapa yang mengetahui dengan jelas pencapaian dan minat kita sebelum ini semasa zaman persekolah­an, justeru senior membantu menyalurka­n mereka ke platform yang sesuai. Penulis secara peribadi ingin berterima kasih kepada senior semasa di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ustaz Mohamad Hariri Mohd Daud yang kini personalit­i dakwah dan moderator Forum Perdana Hal Ehwal Islam di TV1 kerana ‘memandu’ penulis dalam arena pengucapan awam dan debat.

Bukan saja senior, pentadbir dan pensyarah juga wajar didekati kerana orang tua mengingatk­an kita ‘malu bertanya sesat jalan.’ Selaku seorang yang matang, siswa juga perlu mengambil peluang untuk terlibat dengan pelbagai program yang dianjurkan di dalam kampus sama ada program berbentuk ilmiah dan santai.

Beranikan diri juga ‘bergeluman­g’ dalam program kesukarela­wanan yang membawa mereka mendekati dan menyelami kehidupan pelbagai lapisan masyarakat. Aktiviti seperti ini akan membuka pemikiran, memugar kematangan dan menajamkan kefahaman yang lebih luas mengenai realiti sebenar kehidupan di luar sana.

Pada masa sama, ambil peluang mencabar diri menimba pengalaman menguruska­n program di kampus bermula daripada program kecil sehingga program mega bertaraf antarabang­sa. Melaluinya keyakinan diri dan kemahiran komunikasi dapat ditingkatk­an apabila perlu berurusan dengan pelbagai pihak dan melatih diri menjadi pemimpin dan pengurus yang baik. Jika dapat kembali ke zaman mahasiswa, selain aktif berdebat, penulis ingin sangat mengambil peluang untuk mempelajar­i muzik gamelan dan tarian zapin secara serius! Al-Fatihah buat Allahyarha­m

Tan Sri Jins Samsudin dan Azmil Mustapha.

Penulis Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia