Harian Metro

Kelajuan jalur lebar Malaysia masih rendah

-

Kuala Lumpur: Kadar kelajuan jalur lebar di Malaysia adalah masih rendah berbanding median atau penengah negara sedang pesat membangun, meskipun penggunaan mudah alih negara ini antara yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembanguna­n (OECD).

Bank Dunia dalam laporan Ekonomi Digital Malaysia: Pemacu Baharu Pembanguna­n berkata, pada 18.6 megabait sesaat (Mbps), purata kelajuan muat turun jalur lebar mudah alih di Malaysia adalah sedikit lebih rendah berbanding penengah di negara sedang pesat membangun.

Katanya, Chile adalah satu-satunya negara OECD yang mempunyai kadar kelajuan mudah alih lebih rendah berbanding Malaysia, khususnya dalam kalangan negara yang mempunyai pendapatan per kapita hampir sama termasuk Hungary, Turki, Mexico dan Poland.

“Dalam kalangan negara ASEAN pula, Singapura, Myanmar dan Vietnam mempunyai kadar kelajuan muat turun mudah alih lebih pantas, manakala negara-negara lain hampir (dengan Malaysia),” katanya.

Bagi jalur lebar tetap pula, purata kadar kelajuan muat turun negara ini pada 26.9 Mbps, adalah lebih tinggi sedikit berbanding penengah.

Bank Dunia berkata, hanya tiga negara OECD yang mempunyai kadar kelajuan jalur lebar tetap lebih rendah berbanding Malaysia iaitu Greece, Mexico dan Turki.

“Mexico dan Turki juga mempunyai pendapatan per kapita terendah dalam kumpulan berkenaan. Dalam kalangan negara ASEAN, Singapura dan Thailand memiliki kelajuan muat turun jalur lebar tetap yang lebih pantas, manakala Vietnam pula setanding,” katanya.

Setakat 2016, Malaysia mencatatka­n 141 langganan selular mudah alih dan 92 langganan Internet mudah alih yang aktif bagi setiap 100 penduduk, menjadikan­nya salah satu negara yang mempunyai sambungan tertinggi dalam kalangan negara ASEAN dan OECD.

Laporan Bank Dunia itu berkata, pasaran mudah alih Malaysia mendapat manfaat daripada persaingan empat pengendali utama, yang secara bersama menguasai kira-kira 95 peratus pasaran di negara ini.

Penyedia-penyedia perkhidmat­an mudah alih itu juga, katanya menawarkan pakej mampu milik kepada pengguna dan sentiasa menaik taraf teknologi rangkaian masing-masing.

Sementara itu, Bank Dunia menjelaska­n bahawa tahap penggunaan jalur lebar di Malaysia pula adalah lebih rendah apabila hanya terdapat sembilan langganan jalur lebar tetap bagi setiap 100 penduduk pada 2016.

“Ia kurang berbanding unjuran pendapatan per kapita dan hanya sebahagian kecil daripada 92 pelanggan jalur lebar mudah alih aktif bagi setiap 100 penduduk (di Malaysia),” katanya.

Bank Dunia menambah, sasaran nasional kelajuan jalur lebar 100 Mbps adalah lebih rendah berbanding standard di ekonomi maju.

 ??  ?? LIM Guan Eng
LIM Guan Eng

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia