Harian Metro

Hukum si ‘penyembeli­h’

„ Jeneral bersara dipenjara seumur hidup kerana culik dua pelajar universiti pada 2006

- Agensi Manila

Seorang jeneral bersara yang dikaitkan dengan pembunuhan puluhan aktivis haluan kiri dipenjara seumur hidup kerana menculik dua pelajar universiti pada 2006.

Jovito Palparan, yang digelar ‘The Butcher’ (Penyembeli­h) kerana kempen berdarahny­a terhadap pemberonta­k komunis, didapati bersalah atas kehilangan dua pelajar perempuan itu, Karen Empeno dan Sherlyn Cadapan, lapor Philipine Star.

ABC-CBN News melaporkan, Hakim Alexander Tamayo turut mensabitka­n dua tertuduh lain - Leftenan Kolonel Felipe Anotado Jr dan Sarjan Edgardo Osorio - bagi kesalahan itu.

Mereka bertiga diarahkan membayar ganti rugi 300,000 peso (RM22,000) setiap seorang kepada keluarga mangsa.

Menurut Al Jazeera, selepas dijatuhkan hukuman, Palparan bangun memprotes dan menjerit kepada hakim: “Kamu pengecut, hakim! Kamu pengecut!”

Tamayo memberi amaran Palparan boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah, namun tertuduh menjerit “Pedulilah! Kami akan dipenjara pun. Kamu bodoh!”

Karen, 22, dan Sherlyn, 29, diculik dari rumah sewa mereka di Hagonoy, wilayah Bulacan pada Jun 2006 dipercayai oleh askar. Karen ketika itu membuat kajian mengenai kesusahan petani di wilayah itu, manakala Sherlyn anggota kumpulan penganjur yang membantu petani berhaluan kiri di Bulacan.

Mereka dipercayai dirogol, diseksa dan dibunuh askar berkenaan, namun mayat mereka tidak pernah dijumpai.

Palparan menghilang­kan diri selepas tuduhan difailkan ibu bapa mangsa dan cuma ditemui tiga tahun kemudian di Manila.

Kumpulan hak asasi tempatan dan antarabang­sa menyuaraka­n kegembiraa­n dengan sabitan terhadap Palparan, tujuh tahun selepas kes kali pertama difailkan pada 2011.

Sementara itu, CNN memetik jurucakap tentera Kolonel Edgard Arevalo berkata, pihaknya masih belum menerima salinan penghakima­n mahkamah itu, tetapi akur dengan keputusan berkenaan.

“Tentera sentiasa akur dengan mahkamah dan menghormat­i kedaulatan undang-undang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia