Harian Metro

Khaliq dilamar kelab liga Itali

- Naqib Nor Said naqib@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kecemerlan­gan Malaysian Tigers pada kejohanan utama berjaya membuka mata banyak pihak dengan tempiasnya kini turut mengenai pemain yang berada di luar kem latihan hoki negara.

Terbaru, pemain tengah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Khaliq Hamirin yang bakatnya begitu menyerlah tiga tahun lalu disambar kelab divisyen dua Itali, Pistoia untuk muncul pemain ketiga negara beraksi di sana selepas S Selvaraju dan Syamim Yusof.

Ia kali pertama pemain berusia 21 tahun itu ke Itali selepas pernah mengembang­kan sayapnya ke Jerman tahun lalu dengan Selvaraju akan menemaniny­a ke Pistoia kali ini.

Mengulas lanjut, Khaliq berterima kasih kepada pengurusan UniKL kerana sudi membenarka­nnya beraksi di Itali dalam usahanya mengekalka­n kecergasan diri selain faktor ingin menimba pengalaman baru.

“Saya akan berlepas ke sana Ahad ini. Walaupun liga Itali dianggap kurang kompetitif berbanding liga tempatan tapi saya yakin banyak yang boleh dipelajari nanti.

“Saya berharap pengalaman ini dapat membantu meningkatk­an permainan saya apabila pulang ke Malaysia. Terima kasih kepada Prof Dr Mazliham Mohd Su’ud (Presiden UniKL) dan Datuk Amir Azhar Ibrahim (Presiden Hoki UniKL) kerana memberi peluang ini kepada saya,” katanya.

Dalam perkembang­an sama, Khaliq yang kini mewakili Sabah pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Ipoh mendedahka­n Pistoia tertarik dengan khidmatnya selepas diyakinkan oleh rakan sepasukann­ya Selvaraju.

“Kelab ini mengetahui mengenai saya menerusi Selvaraju yang sudah lama beraksi buat Pistoia dan menjadikan­nya lebih mudah kerana pasukan dari Itali itu juga mempunyai jalinan kerjasama dengan UniKL sejak empat tahun lalu.”

Khaliq dan Selvaraju dijangka beraksi buat Pistoia bagi babak pertama musim dan akan kembali menyertai UniKL bagi persiapan Liga Hoki Malaysia 2019, November depan sebelum kembali semula ke Itali selepas itu.

Apa pun, inisiatif dilakukan Dr Mazliham dan Amir Azhar yang bertungkus-lumus memastikan pemain mereka beraksi di luar negara juga wajar dipuji.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia