Harian Metro

Aliran tunai hampir tiada

- Ahmad Suhael Adnan dan Esther Landau cnews@nstp.com.my

„ Pengerusi FELDA perjelas usaha pulih FELDA ambil masa dua tahun

“Pemulihan semula FELDA dijangka perlu mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun,” kata Pengerusi FELDA Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Pada sidang media pertamanya sejak dilantik ke jawatan itu pada 27 Julai lalu, Megat Zaharuddin berkata, proses pemulihan itu adalah sukar memandangk­an FELDA kini berdepan beberapa masalah utama termasuk aliran tunai sangat rendah yang menyukarka­n FELDA memenuhi obligasi hutangnya, selain kelemahan urus tadbir agensi berkenaan.

“Saya tak boleh mendedahka­n dengan terperinci, namun aliran tunai FELDA hampir tiada ketika saya mula masuk ke pejabat,” katanya pada sidang media khas di Menara FELDA di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Besar FELDA, Datuk Ab Ghani Mohd Ali, Timbalan Pengarah Besar FELDA (Pengurusan), Datuk Muzzammil Mohd Nor dan Timbalan Pengarah Besar FELDA (Pembanguna­n Komoditi), Anuar Malek.

Megat Zaharuddin mengakui pemulihan semula FELDA antara yang mencabar sepanjang kerjayanya dan memerlukan sedikit masa bagi merealisas­ikan perkara itu.

“Beberapa langkah mitigasi sedang dan sudah dilaksanak­an, antaranya menstruktu­r semula pinjaman dengan bank, selain perlu melupuskan beberapa aset hartanah dan saham, khususnya menerusi anak syarikat kami iaitu Felda Investment Corporatio­n Sdn Bhd (FIC). “Antara aset itu termasuk beberapa hotel dan apartmen di London, United KIngdom (UK) selain hotel di Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah) serta tanah di beberapa lokasi,” katanya. Megat Zaharuddin berkata, harga kumulatif semua aset yang disasar untuk dilupuskan itu antara RM2.1 bilion hingga RM2.2 bilion ketika ia diperoleh dan FELDA serta anak syarikatny­a mahu mendapatka­n harga tertinggi bagi semua aset berkenaan.

Katanya, penjualan aset serta peningkata­n aliran tunai hasil daripada perusahaan FELDA selepas proses pemulihan dijangka dapat mengurangk­an beban hutang agensi itu yang berjumlah RM8.028 bilion setakat akhir Jun lalu.

Buat permulaan, katanya, FELDA menyasarka­n untuk mengurangk­an kadar hutang itu kepada RM6.5 bilion menjelang hujung tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai masalah aliran tunai FELDA, Megat Zaharuddin berkata, ia antara punca tunggakan bayaran sara hidup dan pendahulua­n hasil kepada peneroka.

“Alhamdulil­lah, kami dapat hapuskan semua tunggakan berjumlah kira-kira RM48 juta kepada 26,000 peneroka dalam tempoh seminggu selepas saya dilantik sebagai Pengerusi,” katanya.

Ditanya mengenai hasil semakan Jawatankua­sa Siasatan Lembaga FELDA terhadap laporan akhir audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), Megat Zaharuddin berkata, FELDA sudah menubuhkan satu jawatankua­sa perundinga­n baru untuk membuat rundingan semula dengan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) berhubung pelaksanaa­n projek berkenaan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia