Harian Metro

FELDA tempang jumpa TFC

- Zulfaizan Mansor zulfaizan@nstp.com.my

Kuala Lumpur: FELDA United dijangka turun dengan skuad tempang bagi mengharung­i perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini.

Ia kerana penjaring terbanyak mereka dalam kempen Piala Malaysia musim ini, Thiago Augusto Fernandes dan dua lagi tonggak utama, Wan Zack Haikal Wan Noor serta Hadin Azman masih dibelenggu kecederaan.

Jurulatih FELDA, B Sathianath­an mengakui pasukannya berdepan tugas sukar bagi aksi menentang skuad Penyu walaupun memiliki sedikit kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

“Perlawanan esok memang sukar, kami turun tanpa beberapa tonggak yang mana Thiago dan Wan Zack antara penjaring terbanyak pasukan.

“Malah, kami akan jumpa pasukan gergasi Liga Super (TFC) yang berada pada prestasi terbaik selain menjadi antara pasukan yang paling banyak meledak gol dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Jadi kami berdepan tekanan kerana persembaha­n TFC ketika ini amat baik dan memiliki jurulatih berpengala­man,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain itu, Sathianath­an menuntut aksi lebih kebal daripada benteng pertahanan skuad The Fighters bagi menafikan TFC meraih kelebihan gol di tempat lawan.

“Kalau kami bolos satu gol saja pasti akan membawa padah kerana mereka ada kelebihan. Fokus utama kami mengelak daripada dibolosi.

“Kami perlu memberi tumpuan kepada tiga pemain mereka, Kipre Tchetche, Lee Tuck dan Ashari Samsudin yang menjadi antara penjaring terbanyak mereka dalam Piala Malaysia,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia