Harian Metro

Air mata sambut penghakima­n

-

Kota Bharu: Mahkamah Sesyen di sini, semalam, memerintah­kan Maahad Tahfiz al-Hashimi di Kuala Krai membayar ganti rugi am dan khas kerana kecuaian berjumlah RM4.3 juta kepada bekas pelajarnya yang lumpuh akibat kemalangan Jun tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail memerintah­kan tiga defendan, iaitu pemandu van, Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 25, CT-One Corporatio­n Sdn Bhd dan Maahad Tahfiz al-Hashimi bertanggun­gjawab secara vikarius dengan membayar kos itu kepada Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 18.

Jumlah berkenaan termasuk ganti rugi terhadap Muhammad Faiz Hafizuddin yang retak saraf tunjang sehingga menyebabka­n mangsa lumpuh seumur hidup dan bagi kos pembelian lampin pakai buang serta tiub makanan dan jururawat persendiri­an.

Plaintif diwakili peguam, R Kameswary serta Mazlinda Mahmud manakala pengasas Maahad Tahfiz al-Hashimi Datuk Adnan Hashim diwakili Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah dan Azman.

Muhammad Faiz Hafizuddin yang turut dibawa ke mahkamah dilihat mengalirka­n air mata sebaik hakim membuat perintah itu.

Sementara itu, Kameswary berkata, perbicaraa­n mengambil masa dua hari saja dengan empat saksi dipanggil, termasuk ibu bapa mangsa dan pengasas maahad tahfiz terbabit.

“Semakan mendapati van dinaiki mangsa tidak memiliki insurans terhadap pelajarnya dan pada hari kejadian, kenderaan itu dipandu oleh pemandu yang tidak ada lesen.

“Pemandu van itu adalah kakitangan maahad dan syarikat van CT-One Corporatio­n Sdn Bhd juga milik maahad terbabit,” katanya ketika ditemui.

Dalam kemalangan pada 2 Jun tahun lalu, tujuh daripada 12 pelajar tahfiz terkorban dengan lima daripadany­a maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Kuala Krai.

Ketika kejadian, pelajar berkenaan dalam perjalanan untuk menghadiri program tafsir al-Quran di Madinah Ramadan Kota Bharu di sini, sebelum van dinaiki terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Telekong, Kuala Krai.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Izahir Kassim, 50, bersyukur keputusan mahkamah memihak kepada anaknya dan nasib Muhammad Faiz Hafizuddin sekurang-kurang terbela.

“Duit bakal diperoleh ini bukan untuk saya atau isteri, tetapi akan dimanfaatk­an sepenuhnya bagi menampung kos perubatan Muhammad Faiz Hafizuddin memandangk­an saya sudah bersara.

“Saya mahu membawa anak menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam. Walaupun doktor memaklumka­n peluang Muhammad Faiz Hafizuddin pulih adalah tipis, sekurang-kurang kami mencuba,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Izahir kesal kerana ramai mengutuk tindakanny­a memfailkan tuntutan bagi pihak anak sedangkan orang luar tidak mengetahui apa yang berlaku.

“Pada awalnya, saya tidak mahu memfailkan tuntutan walaupun ramai peguam datang memujuk. Saya cuba membuat tuntutan insurans penumpang namun tidak mendapat kerjasama daripada pihak maahad tahfiz.

“Malah, peguam mahu menyelesai­kan perkara ini di luar mahkamah dengan menuntut RM500,000 daripada pengasas maahad tahfiz namun Datuk Adnan enggan membayar menyebabka­n saya mula memfailkan tuntutan pada April lalu.

“Kos untuk anak saya setiap bulan sangat tinggi, malah pembelian susu saja sudah melebihi RM1,000. Duit simpanan saya sudah habis sehingga terpaksa berhutang dengan keluarga untuk menanggung Muhammad Faiz

Hafizuddin,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia