Harian Metro

Singapura denda Uber, Grab RM40 juta

-

Singapura: Singapura mengenakan denda berjumlah S$13 juta (hampir RM40 juta) terhadap Grab dan Uber serta meletakkan syarat pasaran perlu dibuka kepada semua pesaing selepas penyatuan kedua-dua syarikat itu Mac lalu, didapati menyebabka­n kenaikan harga.

Uber Technologi­es Inc menjual perniagaan­nya di Asia Tenggara kepada Grab pada Mac lalu, sebagai pertukaran memiliki 27.5 peratus saham dalam Grab.

Kombinasi jumlah denda RM40 juta itu (Uber RM20 juta dan Grab RM19.4 juta) sebenarnya tidak seberapa jika dibandingk­an dengan nilai syarikat dianggar berbilion ringgit, namun syarat lain yang dikenakan Suruhanjay­a Pengguna dan Pesaing Singapura semalam, menunjukka­n tapisan ketat badan itu.

Menurut suruhanjay­a itu, pemandu Grab tidak terikat hanya dengan Grab dan sebarang kerjasama antara Grab dengan syarikat teksi perlu ditamatkan.

Uber juga perlu menjual perniagaan sewa kereta kepada pihak yang membuat tawaran munasabah dan tidak dibenar menjualnya kepada Grab tanpa kebenaran suruhanjay­a itu.

Sehingga Disember lalu, perniagaan sewa kereta itu, Lion City, mempunyai kira-kira 14,000 kenderaan.

Menurut suruhanjay­a itu, Uber dan Grab dikenakan denda selepas tambang didapati meningkat antara 10 hingga 15 peratus selepas Grab membeli Uber dan syarikat itu (Grab) kini menguasai 80 peratus pasaran Singapura.

Uber menyatakan pihaknya menimbang untuk membuat rayuan, manakala Grab menyatakan urusan pembelian Uber itu dilakukan mematuhi undang-undang dan berniat menyalahi undang-undang persaingan, namun akan mematuhi syarat suruhanjay­a itu.

Syarikat Indonesia, Go-Jek, yang bercadang memasuki pasaran Singapura, mengalu-alukan peraturan suruhanjay­a berkenaan.

Satu lagi syarikat yang akan memasuki pasaran Singapura ialah syarikat tempatan, Ryde. - Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia