Harian Metro

ADIK IPAR, SUAMI DIREMAN

- Sarah Zulkifli dan Fazrik Kamarudin sarah@nstp.com.my

Kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan masih belum bernoktah walaupun sehingga kini kertas pendakwaan belum diserahkan polis kepada Pejabat Peguam Negara.

Setakat ini, beberapa suspek yang ditahan polis sejak 4 September lalu termasuk balu Nazrin dan bekas suami serta dua anak tirinya dibebaskan.

Terbaharu, adik ipar Nazrin dan suaminya direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pasangan itu ditahan di kediaman mereka di Kiara View, Taman Tun Dr Ismail, di sini, jam 10.20 malam kelmarin.

Sama ada pasangan suami isteri terbabit dibebaskan atau didakwa hanya boleh dilakukan polis selepas siasatan selesai.

Polis kini difahamkan masih mencari punca dan motif kejadian berkenaan yang pada mulanya diklasifik­asikan sebagai mati mengejut sebelum ia diklasifik­asikan semula sebagai kes bunuh selepas terdapat unsur jenayah dalam kematian Nazrin.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairul Azhar Mohd Ishak membenarka­n tempoh reman sehingga Khamis ini bagi membolehka­n siasatan lanjut terhadap pasangan masing-masing berusia 39 dan 41 tahun.

Siasatan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntu­kkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Pada 4 September lalu, isteri Nazrin, Samirah Muzaffar dan bekas suaminya masing-masing berusia 43 tahun ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.

Turut ditahan reman, anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun pada 9 September lalu.

Bagaimanap­un, semua suspek dibebaskan selepas tamat reman.

Terdahulu, adik ipar Nazrin dan suami tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini, pada jam 11 pagi sebelum diiringi anggota polis keluar dari bilik reman, jam 1.40 petang.

Turut kelihatan menunggu di luar bilik reman, ahli keluarga kedua-dua pasangan itu.

Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahka­n penahanan pasangan itu.

“Polis tahan pasangan suami isteri itu di Kiara View, Taman Tun Dr Ismail di sini, untuk bantu siasatan kes bunuh CEO Cradle Fund,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, Samirah pernah membidas badan penyiasat yang didakwa tidak telus dalam menjalanka­n siasatan dan menuduh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat dakwaan tidak benar mengenai kes kematian mengejut suaminya.

Wanita itu turut dilaporkan berkata, biarpun membuat permohonan kepada pihak JBPM, dia tidak menerima sebarang laporan mengenai perkembang­an siasatan kerana ia diklasifik­asikan sebagai kes berprofil tinggi.

Namun, pihak JBPM menafikan dan berkata, keputusan yang diumumkan adalah berdasarka­n hasil siasatan terperinci oleh manusia selain pasukan K9 iaitu anjing terlatih untuk mencari bukti.

Pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat sudah mengklasif­ikasikan semula kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh.

Pada 14 Jun lalu, Nazrin dilapor meninggal dunia dipercayai berpunca daripada terhidu asap selepas kebakaran berlaku ekoran telefon bimbitnya yang meletup ketika mengecas di bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas kediamanny­a di Mutiara Damansara, di sini.

Cradle Fund ialah syarikat di bawah Kementeria­n Kewangan yang berperanan membangunk­an usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia.

Ia adalah agensi yang memberi pembiayaan awal kepada syarikat yang berjaya seperti Grab (sebelum ini MyTeksi) dan syarikat pemula niaga, fintech iMoney.

 ??  ??
 ??  ?? ADIK ipar Nazrin dan suaminya direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes bunuh CEO itu.
ADIK ipar Nazrin dan suaminya direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes bunuh CEO itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia