Harian Metro

Anak makin berselera

-

Gua Musang: “Alhamdulil­lah, berkat doa orang ramai, anak semakin pulih,” kata Rosmawati Mat, 50, ibu kepada Muhamad Azrul Shazwan Mat Safie, 13, yang menghidap penyakit injap jantung berlubang kritikal di Taman Agropolita­n, Rantau Manis, dekat sini.

Rosmawati berkata, biarpun kedua-dua kaki anaknya itu masih bengkak, keadaan kesihatan bertambah baik dan semakin berselera untuk makan.

Katanya, Muhamad Azrul Shazwan juga meminta supaya dihantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap kerana ingin belajar semula.

“Setiap hari, dia dibawa bersiar-siar di kawasan sekolah ini oleh abangnya bagi menghilang­kan kerinduan untuk belajar.

“Muhamad Azrul Shazwan memang belum boleh berjalan dan perlu rawatan susulan dengan doktor pakar Hospital Kuala Krai (HKK),” katanya.

Terdahulu, Muhamad Azrul Shazwan menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Ab Aziz Yusof dan Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan (MBJ) Mohd Aswawi Fikri Abdul Ghani.

Akhbar sebelum ini menyiarkan penderitaa­n Muhamad Azrul Shazwan pelajar Tingkatan Satu SMK Sungai Asap yang menghidap penyakit injap jantung berlubang empat bulan lalu.

Berikutan penderitaa­n itu, dua kaki pelajar terbabit bengkak dan mengeluark­an air bisa menerusi lubang kecil di betis sebelah kanan hingga dua kakinya terpaksa diletakkan dalam besen.

Menurutnya, anaknya menerima rawatan berulang kali di hospital terbabit, tetapi belum ada pengesahan sama ada perlu dibedah atau tidak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia